Murai kampung terancam akibat diseludup

Sejumlah besar burung murai kampung yang dirampas daripada kes penyeludupan dan perdagangan haram Foto: Ihsan Traffic
Sejumlah besar burung murai kampung yang dirampas daripada kes penyeludupan dan perdagangan haram Foto: Ihsan Traffic
A
A
A

PETALING JAYA - Murai kampung antara spesis burung yang popular dalam kalangan penggemar burung kicau namun dikatakan bakal terancam jika tidak dilindungi kerana tangkapan haiwan itu semakin berleluasa di negara ini.

Murai kampung atau nama saintifiknya copsychus saularis kini semakin mendapat permintaan dari luar negara.

Perkara itu didedahkan menerusi laporan terbaru The Wildlife Trade Monitoring Network (Traffic) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)

Bagaimanapun, sejumlah besar burung berkenaan yang mudah dilihat di Malaysia dan negara serantau itu dilaporkan telah dirampas dalam kes penyeludupan dan perdagangan haram membabitkan sekurang-kurangnya 26,950 ekor menerusi 44 insiden yang melibatkan Malaysia dari Januari 2015 ke Disember 2020.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, analisis menunjukkan bahawa 66 peratus daripada murai kampung yang dirampas itu diseludup hanya pada tahun 2020.

Katanya, menurut Laporan Diseludup Kerana Kicauan Merdu: Perdagangan Burung Murai Kampung turut mendedahkan bahawa majoriti (64 peratus) burung tersebut diseludup ke Indonesia.

"Ia juga menunjukkan peningkatan pemerdagangan antarabangsa dalam beberapa tahun kebelakangan ini yang didorong oleh permintaan berterusan sebagai haiwan peliharaan," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, kesemua rampasan di Malaysia melibatkan empat buah negeri yang juga sebagai pusat pengumpulan murai kampung bagi tujuan penyeludupan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, analisa itu juga menunjukkan kes yang melibatkan penghantaran jumlah burung yang besar diseludup melalui laut iaitu 17,314 ekor burung.

Menurut laporan itu katanya, kerjasama erat di antara Malaysia dan Indonesia perlu diutamakan dalam usaha menyiasat dan mematahkan rangkaian penyeludupan yang mendorong perdagangan haram burung ini.

"Turut disyorkan ialah penambahbaikan undang-undang bagi memastikan murai kampung mendapat perlindungan yang setara di seluruh negara.

"Buat masa ini, murai kampung hanya disenaraikan sebagai spesies terlindung di dalam Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 dan bukan di bawah perundangan hidupan liar di Semenanjung Malaysia atau Sarawak," jelas laporan itu.

Sementara itu Pengarah Traffic di Asia Tenggara, Kanitha Krishnasamy berkata, spesies itu juga berdepan dengan permintaan dalam negara dan ia terbukti melalui melalui platform perdagangan dalam talian yang menjadi tumpuan perdagangan hidupan liar sebagai haiwan peliharaan.

Katanya, pemantauan mendapati murai kampung antara spesies yang paling banyak diperdagangkan dan sejarah menunjukkan apabila spesies yang diburu tidak dikawal selia dengan betul populasi liar spesies tersebut boleh susut dalam masa yang singkat.

"Ini sudah berlaku kepada burung barau-barau yang dahulunya biasa dilihat tetapi kini lesap dari kebanyakan kawasan asalnya kerana banyak didagangkan.

"Gejala ini boleh dicegah untuk Murai Kampung jika sistem pengawalseliaan yang lebih kukuh dapat diwujudkan,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Program Traffic, Serene Chng mencadangkan murai kampung disenaraikan sebagai spesies terlindung di dalam ketiga-tiga perundangan hidupan liar di Malaysia bagi membolehkan sistem pelesenan diguna pakai untuk memantau dan menyelia perdagangan spesis ini secara lebih berkesan.

"Langkah ini bukan sahaja akan menyeragamkan status perlindungannya tetapi juga membolehkan tahap pengurusan yang lebih mantap untuk menyelia perdagangan dan perlindungan spesis ini di masa hadapan," katanya.