Ahli farmasi mohon jadi penerima vaksin fasa satu

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) berharap Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) dapat mempertimbangkan ahli-ahli farmasi komuniti sebagai antara kelompok penerima vaksin dalam Fasa 1 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Presidennya Amrahi Buang berkata, ahli farmasi wajar menjadi antara kumpulan terawal menerima vaksin Covid-19, memandangkan mereka juga terdedah kepada virus Covid-19 yang dibawa pelanggan dan pesakit yang berkunjung ke farmasi komuniti.

“Ahli-ahli farmasi komuniti wajar diutamakan bagi pemberian vaksin Covid-19 dalam Fasa 1 PICK memandangkan perkhidmatan daripada ahli farmasi komuniti sangat diperlukan orang awam termasuk semasa negara menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, katanya MPS telah mengutus beberapa surat kepada kerajaan khususnya kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berhubung isu itu, namun setelah senarai diputuskan, ahli-ahli farmasi telah diketepikan.

“Ini sesuatu yang sangat mengecewakan kerana sumbangan ahli-ahli farmasi komuniti di dalam komuniti setempat adalah sangat penting,” katanya.

Beliau berkata sumbangan ahli farmasi dalam program vaksinasi di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, negara-negara Kesatuan Eropah (EU), New Zealand, Australia dan Kanada sangat ketara, malah di Filipina sendiri ahli-ahli farmasi komuniti turut dibenarkan menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam program itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: