Enam ditahan curi elektrik lombong Bitcoin

Anggota polis dan kakitangan TNB sedang menyusun mesin server yang dirampas dalam empat serbuan berasingan di sekitar Taman Seri Delima dan Pusat Perniagaan Juru Jaya, Bukit Mertajam pada Khamis.
Anggota polis dan kakitangan TNB sedang menyusun mesin server yang dirampas dalam empat serbuan berasingan di sekitar Taman Seri Delima dan Pusat Perniagaan Juru Jaya, Bukit Mertajam pada Khamis.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Enam lelaki ditangkap dalam empat serbuan berasingan di sekitar Taman Seri Delima dan Pusat Perniagaan Juru Jaya, di sini kerana disyaki terlibat dengan aktiviti perlombongan matawang Bitcoin, pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais berkata, kesemua mereka ditahan dalam Op Letrik TNB yang dilakukan bermula jam 4 petang dengan kerjasama kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurutnya, kesemua mereka berusia di antara 28 hingga 51 tahun ditahan atas kesalahan penggunaan elektrik secara curang dengan melakukan penyambungan haram tanpa mengikut meter dan tidak berdaftar.

"Siasatan polis mendapati mereka telah melakukan kegiatan ini di premis yang diserbu sejak setahun lalu dan mengakibatkan TNB mengalami kerugian ratusan ribu ringgit setiap bulan.

"Kita sedang siasat sama ada wujud unsur-unsur jenayah bersindiket dalam aktiviti ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Rahimi berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas 322 unit mesin server, lima buah telefon bimbit serta kad sim, tiga buah komputer riba serta pelbagai peralatan dan kabel elektrik.

Selain itu, polis turut merampas tujuh unit modem dan menyita dua buah kereta Honda City milik suspek.

Katanya, semakan dibuat mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua suspek kini direman dan akan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas perbuatan khianat.

"Saya memberi amaran kepada orang ramai agar tidak terlibat dengan perbuatan yang menyalahi undang-undang ini atau akan bakal didakwa di mahkamah sekiranya ditangkap," katanya.