MIC, MCA, PBRS sanggah kenyataan Ahmad Zahid

SA Vigneswaran
SA Vigneswaran
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga parti komponen Barisan Nasional (BN) menyanggah kenyataan Pengerusi gabungan politik itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi apabila menyatakan BN merayu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya menitahkan sidang Parlimen diadakan dengan segera.

Memetik laporan Malaysiakini, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, mesyuarat BN pada Rabu lalu mengambil ketetapan untuk tidak membuat sebarang andaian dengan titah Seri Paduka Baginda berhubung sidang Parlimen.

"Saya terkejut dengan kenyataan pengerusi BN.

“Mesyuarat BN tidak pernah menyokong sebarang keputusan untuk merayu Seri Paduka menitahkan mengadakan sidang Parlimen dengan segera," katanya pada Jumaat.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengesahkan apa yang dikatakan Vigneswaran manakala Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, Dewan Tertinggi BN tidak setuju berhubung kenyataan media yang dikeluarkan Ahmad Zahid.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan yang juga bekas Setiausaha BN, Tan Sri Annuar Musa mempersoalkan bagaimana boleh terjadi keadaan pelbagai pihak menafikan kenyataan pimpinan parti yang dikatakan tidak menggambarkan keputusan sebenar parti.

“Ini berlaku berkali kali. Apakah sebenarnya sedang berlaku? ini perlu jelaskan, ahli akar umbi makin keliru,” katanya di Facebook.

Ahmad Zahid dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan BN merayu Yang di-Pertuan Agong untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, BN juga mengesyorkan ahli-ahli Dewan Rakyatnya supaya menyeru Perdana Menteri serta Jemaah Menteri untuk menghormati titah Seri Paduka Baginda supaya sidang Parlimen diadakan segera lebih-lebih lagi setelah pelaksanaan PKP dilonggarkan.