Jangan pinggirkan rumah kebajikan

Mia Nurhamizah (empat dari kiri) bersama sebahagian penghuni rumah Red Spot Home Care Center & Nursing Home di Bukit Rasah, Seremban, Negeri Sembilan.
Mia Nurhamizah (empat dari kiri) bersama sebahagian penghuni rumah Red Spot Home Care Center & Nursing Home di Bukit Rasah, Seremban, Negeri Sembilan.
A
A
A

SEREMBAN - Pertubuhan Ikon Malaysia berharap orang ramai tidak meminggirkan rumah kebajikan, sebaliknya tampil menghulurkan bantuan kepada penghuninya.

Presidennya, Mia Nurhamizah Abdul Ghapar berkata, sejak pandemik Covid-19 melanda negara, kebanyakan syarikat korporat menghulurkan bantuan kepada pasukan barisan hadapan sahaja.

Menurutnya, bantuan atau derma kepada rumah kebajikan seperti rumah anak yatim, rumah orang tua dan pusat penjagaan orang kurang upaya (OKU) kurang diberi perhatian.

"Kita terpanggil untuk membuat kerja amal ini selepas melihat kepada keperluan rumah kebajikan yang memerlukan bantuan terutamanya barangan dapur.

"Sebelum PKP 2.0 lalu, Ikon Malaysia sudah membuat kunjungan di lima buah rumah kebajikan, rata-rata mereka memberitahu sumbangan atau derma orang ramai semakin berkurang berbeza sebelum negara dilanda pandemik Covid-19," katanya.

Beliau ditemui semasa mengadakan lawatan dan sumbangan amal di rumah orang tua, Red Spot Home Care Center & Nursing Home di Bukit Rasah pada Khamis.

Mia Nurhamizah berkata, kebanyakan mereka yang terkesan ini adalah pengusaha swasta yang perlu mencari dana sendiri bagi menampung kos operasi harian.

"Alhamdulillah, Pertubuhan Ikon Malaysia berjaya mencari dana terutamanya daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang banyak membantu menghulurkan sumbangan khusus untuk rumah kebajikan.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH, selepas ini kami akan bergerak ke Negeri Selangor, Melaka, Perak, Pahang dan negeri lain bagi memastikan misi membantu rumah kebajikan yang memerlukan tercapai," katanya.

Sementara itu, bagi pengusaha rumah orang tua di Bukit Rasah, Abd Rahman Muhammad Arshad berkata, pihaknya perlu menampung kos perbelanjaan lebih RM14,000 sebulan bagi menjaga 12 penghuni di pusat jagaannya.

Katanya, sejak negara dilanda pandemik ini, pihaknya kurang mendapat sumbangan daripada orang ramai, NGO atau mana-mana syarikat korporat.

Namun jelasnya, operasi perlu berjalan seperti biasa kerana warga emas yang menetap di pusat jagaannya itu perlu penjagaan sempurna tanpa sebarang kekurangan.