'Keputusan tidak teruskan sidang Parlimen satu penghinaan'

Noh Omar
Noh Omar
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan jemaah menteri untuk tidak meneruskan sidang Parlimen ketika tempoh darurat merupakan satu penghinaan kepada ahli-ahli Parlimen.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini menggambarkan seolah-olah ahli Parlimen tidak dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Beliau berkata, kerajaan tidak sewajarnya bimbang dengan penularan Covid-19 dalam kalangan ahli Parlimen kerana kini Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan juga sedang giat digerakkan.

"Kalau saya dah ambil (vaksin), menteri dah ambil, Perdana Menteri pun dah ambil vaksin, tak yakin lagi ke dengan vaksin ini.

"Kalau yakin vaksin boleh halang Covid-19 dengan pematuhan SOP, jadi tak sebab untuk sesi Parlimen tak boleh bersidang," katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook, pada Jumaat.

Kerajaan pada Rabu memutuskan bahawa masih tiada lagi keperluan untuk sidang Parlimen diadakan ketika tempoh darurat.

Takiyuddin dalam satu kenyataan berkata, jemaah menteri membuat keputusan tersebut setelah mengambil kira beberapa faktor merangkumi aspek perundangan dan kesihatan

Mengulas lanjut, Noh yang juga Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 turut mengingatkan Takiyuddin agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan selepas ini.

Artikel Berkaitan:

"Jawatankuasa ini ditubuhkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan kalau menteri umumkan darurat sampai 1 Ogos depan seolah-olah mengetepikan jawatankuasa ini," katanya.