Bob Mah Sing, rakan tidak mengaku salah

Khairul Fazily dibawa ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas baru-baru ini.
Khairul Fazily dibawa ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas baru-baru ini.
A
A
A

PETALING JAYA - Bob Mah Sing dan rakannya yang tular dalam kejadian merempuh kenderaan di lampu isyarat, didakwa di dua mahkamah berasingan di sini pada Jumaat atas tuduhan antaranya cuba membunuh polis dan memiliki senjata, minggu lalu.

Bob Mah Sing atau nama sebenarnya Khairul Fazily Fadzil, 40, berdepan dua pertuduhan manakala rakannya, Mustaza Mustaffa, 35, lapan pertuduhan.

Bagaimanapun mereka mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan berkenaan.

Di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin, Mustaza didakwa atas tuduhan cubaan membunuh dengan mengundurkan kereta dengan laju dan cuba melanggar anggota polis Koperal M Amareisan dan Koperal Mohd Edham Zakaria.

Kejadian didakwa berlaku di lampu isyarat susur kiri Jalan Kuala Selangor menghala Kepong, Damansara di sini pada jam 12.30 tengah hari, 26 Februari lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mustaza didakwa memiliki senjata berbahaya di tempat awam iaitu kapak berhulu kayu tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang di lokasi, masa dan tarikh sama.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman tidak kurang lima tahun dan tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Khairul Fazily didakwa atas tuduhan berdamping dengan Mustaza yang pada masa material, mempunyai kapak tanpa kebenaran yang sah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, boleh dihukum bawah Seksyen 6(1) akta sama yang membawa hukuman sama.

Sementara di Mahkamah Majistret di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim, dua tertuduh itu turut didakwa menghalang dua anggota polis sama dari menjalankan tugas di lokasi, masa dan tarikh sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa penjara dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Mustaza didakwa atas satu pertuduhan gagal mengemukakan kad pengenalan dan empat lagi pertuduhan iaitu melakukan khianat dengan merosakkan kereta Toyota Vellfire, Lexus, Myvi dan lori.

Bagi pertuduhan khianat Mustaza didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 12 bulan atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan

Sementara bagi pertuduhan gagal mengemukakan kad pengenalan Mustaza didakwa Peraturan 7(1A) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang boleh dihukum dibawah Peraturan 25(1)(a) yang meperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun.

Dalam prosiding itu pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Alison Chan May Kam dan Atifah Hazimah Wahab manakala Mustaza diwakili peguam Datuk Suraj Singh dan Datin Raj Preet Kaur.

Bagaimanapun Khairul Fazily tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan Mustaza diikat jamin RM43,000 manakala Khairul Fazily tidak diberi ikat jamin kerana tiada penjamin hadir di mahkamah.

Mustaza juga dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis dua kali sebulan.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 19 April depan sebagai sebutan semula kes.

Pada 26 Februari lalu, dua lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja bertindak merempuh beberapa kenderaan di lampu isyarat, biarpun tembakan dilepaskan polis ke arah tayar kenderaan terbabit.