PH Negeri Sembilan hormati keputusan parti komponen

AMINUDDIN
AMINUDDIN
A
A
A

SEREMBAN- Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan tidak akan campur tangan dalam urusan dalaman parti-parti komponennya.

Pengerusinya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, isu dalaman parti berkenaan perlu diselesaikan secara dalaman.

"Berhubung dengan isu dalaman Parti Amanah Negara (Amanah) kita tidak akan masuk campur, biarlah mereka selesaikan sendiri dan kita daripada dahulu menghormati apa juga keputusan parti masing-masing.

"Kita bukan sahaja menjaga parti tetapi keluarga PH, itu yang paling utama," katanya pada sidang akhbar selepas Pasca Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (Covid-19) di Wisma Negeri, di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, bagaimanapun sebagai sebuah keluarga dalam PH, pihaknya telah memberi nasihat supaya situasi berkenaan dapat dimurnikan dan menjadi lebih baik.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, menerusi mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Negeri Sembilan pada malam Khamis telah membentangkan peranan parti masing-masing bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum (PRU) yang semakin hampir.

"Mesyuarat itu turut dihadiri oleh wakil Amanah pusat dan negeri, tidak ada sebarang masalah dan ia berjalan lancar, manakala berhubung pembahagian kerusi kita akan muktamadkan dalam masa terdekat," katanya.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan Pengurusan dan Pentadbiran Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan kini diambil alih oleh kepimpinan parti itu di peringkat nasional.

Artikel Berkaitan:

Menurut sumber, keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional yang bersidang pada 7 Februari lalu.

Difahamkan pengambilalihan itu adalah bersifat sementara sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian, bagaimanapun faktor kenapa Amanah Negeri Sembilan diambil alih tidak dapat dipastikan.

Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan perkara itu, namun enggan mengulas lanjut berkenaan punca keputusan Amanah Negeri Sembilan diambil alih oleh pusat.