Bekas MP UMNO sertai Bersatu: 'Ia benar-benar memalukan'

Ronnie Liu
Ronnie Liu
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerima penyertaan enam bekas Ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu sebagai tindakan memalukan.

Jelasnya lagi, situasi yang berlaku kini juga jelas bertentangan dengan apa yang pernah dijanjikan Pengerusi Bersatu itu sebelum ini.

“Suatu ketika dahulu saya menulis mengenai bagaimana sebelum PRU14. Dr Mahathir memberitahu sekumpulan aktivis dan badan bukan kerajaan (NGO) yang beliau tidak akan menerima katak (Ahli Parlimen) UMNO.

“Saya tahu kerana saya berada di sana. Saya mendengarnya dengan telinga saya sendiri. Dan saya percaya kepadanya,”katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Namun katanya, apa yang dibimbangkan selama ini akhirnya berlaku apabila Ahli Parlimen Langkawi itu mengumumkan kemasukan keenam-enam Ahli Parlimen menyertai Bersatu.

“Ia benar-benar memalukan apabila menerima sampah seperti ini (Ahli Parlimen UMNO yang lompat parti). Jadi apa yang akan berlaku sekiranya lebih banyak Ahli Parlimen UMNO yang keluar parti dan meminta untuk menyertai Bersatu.

“Adakah Bersatu akan membawa mereka secara beramai-ramai seperti ini? Adakah kita menyaksikan pengambilalihan berlawanan dari Bersatu oleh bekas orang UMNO?,”soalnya.

Ronnie turut mempersoalkan sama ada keenam-enam pemimpin yang keluar parti itu telah diperiksa dengan sebaiknya sebelum diterima masuk menyertai parti komponen di dalam PH itu.

Artikel Berkaitan:

“Rakyat telah membuat keputusan untuk memecah BN pada pilihan raya umum ke-14. Kita tidak seharusnya menentang kehendak mereka untuk mengembalikan anggota Parlimen dari bekas rejim ke dalam gabungan kerajaan baru.

“Ia adalah satu pengkhianatan terhadap keputusan rakyat. Ini bukan apa yang rakyat mengundi dalam PRU14,”katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir semalam mengumumkan penyertaan enam bekas Ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu.

Mereka ialah Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut), Datul Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Enam Ahli Parlimen itu yang kini menjadi Ahli Parlimen Bebas memutuskan untuk meninggalkan UMNO pada 14 Disember tahun lalu

Selain itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut menerima kad keahlian Bersatu.