Ibu kandung Nur Alya Umairah dicari

Nazoriah bersama Nur Alya Umairah yang dijaganya dengan penuh kasih sayang sejak berusia sebulan.
Nazoriah bersama Nur Alya Umairah yang dijaganya dengan penuh kasih sayang sejak berusia sebulan.
A
A
A

KUALA KRAI - Seorang wanita mencari ibu kandung kepada anak jagaannya yang diserahkan ketika berusia sebulan.

Anak perempuan yang diberikan nama Nur Alya Umairah Abdullah itu kini sudah berusia 11 tahun dan tinggal bersamanya di Kampung Ragu, di sini.

Nazoriah Mohd Nordin, 38, berkata, dia perlu mendapatkan ibu kandung Nur Alya Umairah bagi urusan dokumentasi untuk pengambilan anak angkat selain urusan masa depannya.

"Nur Alya Umairah diserahkan kepada adik saya oleh ibu kandungnya dikenali sebagai Kamariah yang ketika itu berusia sekitar 30an. Saya harap ibu kandungnya boleh tampil membantu.

"Adik bersimpati dengan budak ini dan menyerahkan kepada saya kerana dia baru berkahwin dan tiada pengalaman menjaga bayi ketika itu," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Nazoriah berkata, dia dan suami berusaha mencari ibu kandung Nur Alya Umairah namun tidak dapat menemuinya kerana tidak tahu keberadaan wanita itu disebabkan tiada sebarang nombor telefon mahupun alamat ditinggalkan.

"Walaupun saya sudah ada dua anak namun saya tidak pernah bezakan kasih sayang kami. Sejak ditinggalkan, saya jaga dan susukan dia supaya membesar dengan baik seperti anak sendiri," katanya.

Katanya, baru-baru ini dia menghadiri temuduga bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk proses perakuan anak angkat yang sah.

Artikel Berkaitan:

"Selepas itu dirujuk kepada pihak Jabatan Pendaftaran Negara dan kami disarankan supaya mengesan ibu kandungnya bagi memudahkan prosedur tersebut," katanya.

Nazoriah berkata, anak jagaannya itu salah seorang pelajar pintar di sekolah dan dia juga bimbang akan merumitkan proses mendapatkan kad pengenalan diri ketika usianya 12 tahun pada tahun depan.