Padah buat laporan palsu

Noorzainy Mohd Noor
Noorzainy Mohd Noor
A
A
A

KEPALA BATAS-Tindakan seorang lelaki membuat laporan palsu mendakwa dirinya disamun mengundang padah apabila polis membuka siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 26 tahun itu yang bekerja sebagai jurujual berbuat demikian kerana takut didenda Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selepas Mykad miliknya telah empat kali hilang sebelum ini.

Menurutnya, helah lelaki itu terbongkar selepas polis mengambil keterangan daripada kakaknya bagi membantu siasatan kes samun yang dilaporkan pada 1 Mac lalu.

"Mengikut laporan polis dibuat mangsa mendakwa disamun dua lelaki tidak dikenali di tepi Jalan Tesco Bagan Ajam, Butterworth yang menyebabkan dia kehilangan kad pengenalan diri, kad bank serta wang tunai lebih kurang RM30.

"Namun ketika keterangan diambil pegawai penyiasat mendapati ada kenyataan meragukan sebelum kakaknya membuka cerita yang adiknya itu telah membuat laporan palsu kerana takut didenda oleh pihak JPN," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Noorzainy berkata, semakan dibuat mendapati suspek yang tinggal di Pangsapuri Seri Orkid, Bagan Ajam itu mempunyai empat rekod jenayah lampau.

Katanya, suspek kini ditahan untuk tindakan lanjut dan akan disiasat kerana memberikan keterangan palsu pada penjawat awam dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda tidak sampai RM2,000.

Artikel Berkaitan: