Sindiket klon kereta tumpas

Saiful Azly (kanan) melihat kereta yang dirampas selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Jumaat.
Saiful Azly (kanan) melihat kereta yang dirampas selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis memberkas empat lelaki disyaki terlibat dengan Geng Zul yang aktif menjalankan aktiviti menjual kereta klon sejak tiga tahun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, kesemua individu berusia 22 hingga 42 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan Op Lejang di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Johor dan Pulau Pinang pada 2 Februari hingga Selasa lalu.

"Kita turut merampas 19 kereta pelbagai model dianggarkan bernilai RM3.5 juta di beberapa premis menjual kereta terpakai yang disyaki diubah suai nombor casis,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini pada Jumaat.

Saiful Azly berkata, modus operandi sindiket itu adalah mereka mensasarkan kereta gagal dibayar pinjaman, kereta curi serta kereta klon dari Singapura, kemudian mengubah suai nombor casis.

"Nombor casis kereta berkenaan akan diubah suai berdasarkan butiran kereta diisytiharkan musnah sepenuhnya (total loss) yang diperoleh daripada rakan sejenayah lain atau melalui laman web," katanya.

Beliau berkata, sindiket itu kemudian akan mencari pembeli dan menghantar kereta berkenaan kepada individu terbabit selepas persetujuan harga dicapai.

"Difahamkan kereta itu dijual pada harga RM100,000 hingga RM120,000 setiap satu bergantung kepada model. Kita percaya mereka menjual kira-kira enam buah kereta sebulan," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan oleh Jabatan Kimia mengesahkan 16 daripada 19 kereta yang dirampas itu mempunyai kesan ubah suai pada nombor casis, manakala sembilan lagi kereta berkenaan dilaporkan hilang.

Artikel Berkaitan:

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 413 Kanun Keseksaan dan Seksyen 108 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.