Dedah laporan siasatan insiden SUKE kepada umum

Laporan Sinar Harian berhubung kejadian.
Laporan Sinar Harian berhubung kejadian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Laporan hasil siasatan berhubung insiden di projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) pada Rabu yang mengorbankan dua wanita perlu didedahkan kepada orang awam, kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata, orang awam mempunyai kepentingan dalam insiden itu dan mereka yang bertanggungjawab perlu dikenakan tindakan tegas.

“Saya cadangkan hasil siasatan perlu didedahkan kepada orang awam kerana banyak kali mereka lakukan siasatan, selepas itu tiada siapa yang tahu (hasil siasatan) dan lama-kelamaan orang akan lupa sehingga kejadian seterusnya berlaku. Adalah penting untuk pihak berkuasa menyiapkan siasatan dan hasilnya didedahkan kepada umum,” katanya.

Beliau berkata, insiden itu juga adalah satu ‘wake up call’ kepada industri pembinaan negara untuk meningkatkan aspek keselamatan di kawasan tapak binaan bagi memelihara keselamatan orang awam.

“Saya bukan menyalahkan pemaju kerana saya bukan pihak berkuasa. Tapi secara amnya, di negara kita sudah terlalu banyak kemalangan berlaku dan ia kini menjejaskan keyakinan orang ramai...mereka sudah ada rasa fobia apabila melalui kawasan pembinaan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jejambat runtuh: Lima orang terperangkap

Sementara itu, Presiden Persatuan Keselamatan Jalan Raya dan Pengangkutan Malaysia (MRTSA), Nik M Salim Nik M Salleh bersetuju dengan cadangan hasil daripada siasatan itu perlu dikongsi dengan orang awam disusuli audit keselamatan agar kemalangan tersebut tidak berulang.

“Isu yang penting dan menjadi persoalan di sini adalah jaminan bagi memastikan keselamatan serta kesihatan pengguna jalan raya dan pekerja yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pematuhan kepada keperluan perundangan, tata amalan industri, standard, garis panduan serta pengurusan yang lebih bersistematik perlu dipatuhi oleh pihak industri bagi menjamin keselamatan semua pihak.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sebelum ini menyatakan pihaknya memfokuskan aspek pengurusan trafik dalam siasatan terhadap insiden itu mengikut Seksyen 34B dan 34C Akta CIDB.

Kejadian kira-kira 6 petang itu menyebabkan dua wanita maut manakala dua lagi wanita serta seorang lelaki yang merupakan pemandu van tersebut cedera.