Siapa kata minyak zaitun berbahaya?

Salah satu makanan sunnah telah digunakan sejak zaman berzaman

A
A
A
Soalan 1

Doktor, selalunya orang mengaitkan pengambilan minyak sebagai berbahaya. Namun saya berharap dapat penjelasan lanjut tentang minyak zaitun yang dikatakan baik untuk kesihatan jantung. Boleh perincikan?

INGIN TAHU, MOHAMAD ZULKARNAIN MOHD ARIF, 34, KAJANG, SELANGOR

Jawapan:

RAMAI yang mempertikaikan pengambilan minyak zaitun sebagai sebahagian makanan bagi membaik pulih kesihatan. Mereka belum faham.

Jika kita perhatikan kadar kematian akibat penyakit kardiovaskular (jantung) dan kanser yang rendah, hanya terdapat di negara-negara yang mengamalkan minyak zaitun dalam pemakanan mereka sejak berzaman.

Jika bertanya kepada mereka 'apa rahsia diamalkan dalam pemakanan?', mereka tidak akan memberi jawapan spesifik kerana tidak praktikkan sebarang diet tertentu atau mengamalkan sesuatu yang asing.

Mereka hanya makan makanan tradisi iaitu minyak zaitun yang dijadikan sebahagian daripada makanan utama mereka.

Agak pelik bila kita menyedari manfaat kesihatan boleh diperoleh daripada minyak zaitun dan ia telah diamalkan sejak zaman silam beribu tahun dahulu, namun masih tidak mengambilnya sebagai sumber minyak bagi menyihatkan tubuh.
Artikel Berkaitan:


Setiap bulan sebenarnya, ada sahaja penemuan baharu bagi mengukuhkan bukti bahawa minyak zaitun sangat baik untuk kita. Pembaca boleh merujuk dalam jurnal nutrisi seperti European Journal of Nutrition.

Dan apabila kita dimomokkan semua lemak berbahaya, ia sesuatu yang melucukan. Lemak mempunyai pelbagai jenis, ada berbahaya dan ada bermanfaat.

Sebahagian tubuh kita dibina daripada lemak. Otak, saraf, hormon seksual kita seperti testosteron, estrogen juga daripada lemak.

Oleh itu, kita harus menjelaskan hal ini kepada masyarakat. Pemakanan rendah lemak bukan jawapan kepada masalah peningkatan penyakit kronik di Malaysia kerana punca masalah ini adalah masalah pengambilan gula yang berlebihan, pengambilan lemak yang berbahaya seperti transfat.

Mengarut

Saya tidak dapat bayangkan jika ada penduduk di sekitar Lautan Mediterranean seperti penduduk Sepanyol, Itali, Turki, Tunisia dan Maghribi yang menolak minyak zaitun sebagai daripada budaya pemakanan mereka yang sihat, diamalkan berkurun lamanya, tiba-tiba menolak minyak zaitun yang asli ini dan mencipta 'minyak zaitun rendah lemak'.

Sudah tentu ia sesuatu yang mengarut! Kita menolak suatu yang semula jadi dicipta oleh ALLAH dan mengambil sesuatu kita cipta sendiri (ciptaan dan pengubahsuaian oleh manusia) semata-mata untuk memuatkannya ke dalam diet rendah lemak kononnya lebih sihat).

Lemak pada minyak zaitun yang sangat ditakuti oleh 'mereka berdiet rendah lemak' adalah terdiri daripada asid lemak monounsaturate dan polyunsaturate yang akhirnya dibuktikan oleh para nutritionist sebagai sebahagian minyak yang bermanfaat dalam mengurangkan penyakit kardiovaskular.

Sebatian antioksida yang ada dalam minyak zaitun juga dapat membantu melawan sebatian radikal bebas. Ia boleh ambil terus ke dalam mulut, diambil bersama makanan dan salad atau digunakan dalam menumis.

Ia superfood terbaik membantu menghalang kerosakan sel-sel dalam tubuh dan akhirnya mengelakkan kita mendapat kanser. Malah minyak zaitun juga membantu penyerapan vitamin A, D, E, dan K yang kita peroleh dari makanan kita makan.

Oleh itu, mengambil minyak zaitun selepas makan dapat membantu meningkatkan kesihatan kerana bukan sahaja ia sangat baik tetapi ia juga membantu penyerapan nutrien yang kita makan.

Rahsia beras perang

Soalan 2

SAYA sering terbaca mengenai kebaikan beras perang. Benarkah ia lebih baik jika dibandingkan dengan beras putih yang biasa kita makan?

INDIVIDU INGIN TAHU, AISYAH MOHD NOR, 45, KUALA TERENGGANU

Jawapan:

KELEBIHAN beras perang berbanding dengan beras putih ialah beras perang bukan saja mengandungi kandungan serat (bran) tetapi juga mempunyai mineral dan vitamin.

Beras putih mempunyai tahap nutrisi yang sangat rendah berbanding dengan beras perang.

Selain itu, tahap glycemic index (GI) beras perang lebih rendah dari beras putih. Namun, kandungan karbohidrat dan kalori lebih kurang sama.

Oleh itu, beras perang adalah pilihan terbaik, cuma jangan ambil terlalu banyak.

Nilai satu pinggan nasi beras perang walaupun mempunyai serat, mineral dan vitamin yang lebih banyak, namun, ia juga mempunyai nilai karbohidrat sama banyak dengan sepinggan nasi dari beras putih.

Beras putih dihasilkan daripada padi. Apabila kulit luar dibuang dan hanya tinggal selaput bran pada beras, ia menjadi beras perang. Jika bran juga dibuang, ia dinamakan beras putih.

Oleh itu, beras perang mempunyai serat yang lebih banyak (kira-kira 5 peratus) dan ini menyebabkan bacaan GI menjadi rendah berbanding dengan beras putih.

Selain itu, kadar mineral dan vitamin beras perang lebih tinggi dari beras putih.

Selain dari beras perang, beras rebus (parbolied rice) juga mempunyai serat, mineral dan vitamin yang lebih banyak berbanding dengan beras putih. Bacaan GI pun lebih rendah dari beras perang.

Beras rebus dihasilkan dari proses pengewapan yang meninggalkan lebih banyak selaput bran pada permukaan padi.

Selaput bran ini mempunyai kandungan mineral (seperti potassium), vitamin (seperti vitamin B kompleks dan vitamin E tocotrienol) dan fitokimia (seperti orizanol dan ferulik),

Dengan menukarkan pengambilan beras putih kepada beras perang atau beras rebus, ia dapat mengurangkan risiko mendapat masalah obesiti, diabetis mellitus dan serangan sakit jantung.

PROFIL DOKTOR:

Dr Zubaidi Ahmad

Berpengalaman selama 23 tahun sebagai doktor perubatan. Beliau merupakan graduan dari Kasturba Medical College, Manipal India (1996) dan kemudian melanjutkan pelajatam dalam bidang kaunseling di UTM (2010).

Beliau juga bertindak sebagai penceramah dalam memberikan nasihat dan latihan pada masyarakat berkaitan kesihatan, pemakanan dan motivasi diri.