X

Kindly register in order to view this article
!

Enam polis terlibat parti liar dibebas dengan jaminan

Koperal Azizul Mohamad (kiri) dari Balai Polis Gerik menerima sijil penghargaan polis disampaikan Mior Faridalathrash.
A
A

TELUK INTAN - Kesemua enam pegawai dan anggota polis yang ditahan dalam satu parti liar di sebuah pangsapuri di Ipoh minggu lalu telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan terhadap kes itu hampir selesai dan polis hanya menunggu laporan sampel air kencing dari Jabatan Patalogi untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, sekiranya keputusan ujian urin itu menunjukkan positif dadah, kes berkenaan akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya untuk pendakwaan.

"Kesemua mereka ditahan selama empat hari untuk siasatan selepas mendapat perintah mahkamah. Siasatan dilakukan mengikut prosedur biasa dan kesemua mereka telah pun dibebaskan dengan jaminan polis.

"Kita akan dapatkan arahan pertuduhan di mahkamah jika ujian urin kali kedua ini mendapati mereka positif mengambil dadah," katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya tidak sesekali berkompromi dengan sebarang salah laku dalam kalangan warga polis dengan mengenakan tindakan sewajarnya mengikut perundangan sedia ada.

"Saya dapati, masih ada lagi sebilangan individu yang terlibat dengan kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah sepertimana tangkapan kita ke atas enam anggota sebelum ini.

"Jika ada yang masih berdegil melakukan kesalahan-kesalahan ini, tindakan tegas termasuk buang kerja atau diturunkan pangkat akan dikenakan," katanya.

Pada 26 Februari lalu, seorang pegawai kanan polis berpangkat inspektor dan lima anggota lain-lain pangkat menjadi antara 14 individu yang ditahan ketika leka berhibur dan disyaki mengambil dadah di sebuah pangsapuri di Ipoh.

Saringan awal air kencing dilakukan mendapati, lima daripada mereka yang berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

Mengulas lanjut, Mior Faridalathrash berkata, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri telah membuat tangkapan ke atas 1,372 individu antaranya kesalahan membekal dan memiliki dadah.

"Jumlah itu membabitkan rampasan dadah bernilai lebih RM1.5 juta dan nilai sitaan keseluruhan lebih RM736,000," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Inspektor, anggota positif dadah dicekup dalam parti liar


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!