Pendaftaran pengamal profesion kesihatan bersekutu ditangguh

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia (MPKBM) bersetuju menangguhkan sementara proses pendaftaran pengamal kesihatan bersekutu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, tarikh permulaan pendaftaran akan dimaklumkan melalui pengumuman rasmi pada masa yang akan ditentukan kelak.

"MPKBM juga akan memperhalusi polisi dan standard kelayakan bagi pendaftaran pengamal Profesion Kesihatan Bersekutu serta perkara-perkara berkaitan. Ia membabitkan Jadual Kedua (Seksyen 9 dan 10, Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 [Akta 774])," kata Dr Noor Hisham yang juga Pengerusi MPKBM dalam kenyataan pada Jumaat.

Jadual Kedua (Seksyen 9 dan 10), Akta 774 adalah senarai Profesion Kesihatan Bersekutu yang telah diluluskan oleh Menteri Kesihatan untuk tarikh penguatkuasaannya bermula pada 1 Julai 2020. Akta tersebut telah diluluskan oleh Parlimen Malaysia dan diwartakan pada 18 Februari 2016.

"Adalah diharapkan dengan penubuhan Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia akan dapat memartabatkan Profesion Kesihatan Bersekutu dan menjamin penyampaian perkhidmatan kesihatan yang selamat dan berkualiti di Malaysia," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, keputusan tersebut dicapai menerusi mesyuarat MPBKM yang diadakan kali pertama pada 6 Ogos 2020 dan bilangan kedua pada 21 Disember 2020.

Beliau berkata, antara perkara dibincangkan serta dipertimbangkan pada mesyuarat tersebut termasuk hal ehwal pentadbiran majlis, terma rujukan anggota majlis dan penetapan polisi serta standard pendaftaran pengamal kesihatan bersekutu.

Dr Noor Hisham berkata, Menteri Kesihatan juga telah melantik anggota MPKBM yang pertama pada 9 Julai 2020 untuk tempoh tiga tahun dengan seramai 23 profesional yang berkelayakan dan berpengalaman mewakili 23 profesion daripada sektor awam, swasta dan institusi pengajian tinggi telah dipilih.

Artikel Berkaitan:

Akta 774 bertujuan menguatkuasakan pendaftaran dan mengawal selia amalan profesion kesihatan bersekutu di Malaysia dengan mengadakan peruntukan bagi penubuhan MPKBM, pendaftaran pengamal kesihatan bersekutu, mengawal selia amalan Profesion Kesihatan Bersekutu dan perkara berkaitan.

Terdapat 23 kategori profesion sains kesihatan bersekutu yang merangkumi tiga kumpulan perkhidmatan iaitu klinikal, makmal dan kesihatan awam iaitu Ahli Audiologi, Ahli Dietetik, Ahli Entomologi (Kesihatan Awam), Ahli Fisioterapi, Ahli Fizik Perubatan, Ahli Pemakanan dan Ahli Psikologi Klinikal.

Profesion lain adalah Ahli Sains Klinikal (Biokimia), Ahli Sains Klinikal (Bioperubatan), Ahli Sains Klinikal (Embriologi), Ahli Sains Klinikal (Genetik Perubatan), Ahli Sains Klinikal (Mikrobiologi), Ahli Terapi Cara Kerja, Ahli Terapi Pertuturan-Bahasa, Ahli Terapi Radiasi dan Jururadiografi Diagnostik.

Selanjutnya adalah Juruteknologi Makmal Perubatan, Juruteknologi Pergigian, Pegawai Kesihatan Persekitaran, Pegawai Pendidikan Kesihatan, Pengawai Penyediaan Makanan (Penjagaan Kesihatan), Pegawai Sains Forensik dan Pegawai Sosial Perubatan. - Bernama