X

Kindly register in order to view this article
!

Sekolah Henry Gurney: Pelatih baharu mungkin punca kes Covid-19 meningkat

PKPD akan dilaksanakan di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka bermula Sabtu hingga 19 Mac ini selepas 152 kes positif direkodkan sehingga 3 Mac dengan melibatkan lima kakitangan, lapan ahli keluarga dan 139 tahanan.
A
A

MELAKA - Kemasukan pelatih baharu dari seluruh negara ke Sekolah Henry Gurney, Telok Mas di sini mungkin menjadi antara punca utama peningkatan kes positif Covid-19 di pusat berkenaan.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, dalam masa yang sama kurangnya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) turut menjadi penyumbang kepada peningkatan kes yang mendadak.

“Ini mungkin terjadi sebab hanya terdapat satu sahaja Sekolah Henry Gurney di Malaysia. Jadi kita sedang pantau keadaan ini, malah akan melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti apa yang berlaku.

“Saya juga cadangkan supaya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ini, tiada kemasukan pelatih baharu, manakala pelatih sedia ada tidak keluar untuk tujuan perbicaraan bagi mengekang penularan jangkitan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, Bernama melaporkan PKPD akan dilaksanakan di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas di sini bermula Sabtu hingga 19 Mac ini selepas 152 kes positif direkodkan sehingga 3 Mac dengan melibatkan lima kakitangan, lapan ahli keluarga dan 139 tahanan.

Dengan peningkatan mendadak itu, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di pusat tahanan berkenaan mulai Sabtu bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penghuni serta mengawal penularan jangkitan dalam komuniti. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!