Penghantar makanan jadikan rumah 'zoo ular'

Mohamad Saifullah menunjukkan kemahiran bermain dengan ular tedung peliharaannya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Baung Perdana, Pengkalan Chepa di sini pada Jumaat.
 - Foto Bernama
Mohamad Saifullah menunjukkan kemahiran bermain dengan ular tedung peliharaannya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Baung Perdana, Pengkalan Chepa di sini pada Jumaat.
 - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Mungkin ramai yang berasa gerun apabila melihat ular, namun bagi penghantar makanan, Mohamad Saifullah Omar, perasaan tersebut tidak timbul malah rasa sayang kepada reptilia tersebut diterjemah dengan memelihara lapan ekor ular menjadikan kediamannya seolah-olah 'zoo ular'.

Selain ular tedung, Mohamad Saifullah, 31, turut memelihara ular sawa yang diimport dari Myanmar seperti Ivory Burmese, Burmese python dan Albino Burmese Python.

"Secara purata saya sudah belanjakan RM10,000 membeli ular sawa yang diimport dari Myanmar itu. Setiap bulan saya perlu membelanjakan RM400 untuk menyediakan makanan kepada reptilia tersebut terutamanya ular sawa yang diberi makan tikus putih, arnab atau puyuh.

"Ular mempunyai metabolisme rendah dan makanan lambat hadam, jadi reptilia ini boleh bertahan seminggu hingga ke sebulan tanpa makanan, cuma jangan putus bekalan air,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Baung Perdana, Pengkalan Chepa di sini pada Jumaat.

Bercerita lanjut, Mohamad Saifullah yang juga dikenali sebagai 'Sang Pemujuk Ular' berkata pada awal perkahwinan, isterinya Siti Fatimah Mohd Kamil, 33, tidak selesa dengan keadaan tersebut, namun kini dia (Siti Fatimah) sudah boleh menerima, malah berani memegang dan memandikan ular sawa peliharaannya.

"Isteri menganggap rumah ini seperti zoo kerana mempunyai haiwan eksotik selain ular iaitu iguana, katak Amazon dan tarantula. Isteri dan adik-beradik saya juga menyayangi reptilia ini, malah sudah berani memandikan 'Mico' dan ‘Coki', dua ekor ular sawa peliharaan seminggu sekali,” katanya.

Memiliki permit serta lesen memelihara ular daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Mohamad Saifullah berkata, biarpun berpengalaman sebagai penjinak ular sejak sembilan tahun lepas dan memahami 'bahasa ular', namun setiap kali mengendalikan ular tedung, dia tetap menggunakan peralatan keselamatan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

"Penglibatan dengan ular bermula pada tahun 2013 semasa menjalankan kerja sukarela menangkap ular secara percuma dan daripada situ penduduk sekitar meminta menangkap ular sawa liar seberat 700 gram yang mengganggu penduduk.

Artikel Berkaitan:

"Setelah ular itu ditangkap, saya pelihara, beri makan dan jinakkan dalam tempoh seminggu, kemudian lepaskan semula ke habitat asalnya kerana ular datang ke tempat manusia sebab lapar," katanya sambil menambah mendapat bimbingan dan ilmu menangkap ular daripada abang angkat dikenali sebagai Bro Dean.

Mohamad Saifullah berkata, dia pernah memelihara 23 ekor ular, namun kini hanya tinggal lapan ekor kerana sudah dibeli orang, selain Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membataskan pergerakannya ke Myanmar untuk membeli serta menambah bilangan reptilia tersebut. - Bernama