Cetak rompak digital: Perlu penyelesaian menyeluruh

Norman Abdul Halim - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Norman Abdul Halim - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha mengekang dan membendung kegiatan cetak rompak digital memerlukan satu penyelesaian menyeluruh melibatkan pelbagai agensi kerajaan.

Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Norman Abdul Halim berkata, langkah tersebut perlu diusahakan kerana perkembangan teknologi digital ketika ini telah menyebabkan kandungan kreatif mudah terdedah kepada kegiatan tersebut.

“Kalau kita lihat, apabila sesebuah filem itu masuk ke dalam platform digital, tahap risiko untuk terdedah kepada cetak rompak digital begitu besar sekali.

“Ini kerana biarpun sesebuah kandungan itu dibiarkan hanya satu minit ataupun satu ke dua jam, ratusan ribu orang sudah menonton kandungan tersebut. Jadi itulah ketirisan yang berlaku kepada industri kreatif,” katanya ketika menjadi panel program Wacana Sinar Harian Edisi ke-236 bertajuk ‘Cetak Rompak Digital: Industri Kreatif Makin Malap?’ pada Khamis.

Program yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian itu turut menampilkan Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Filem, Zahrin Aris dan pelakon serta pengarah, Hasnul Rahmat Mustafa selaku panelis, manakala Edlynna Hanie Hamid bertindak selaku moderator.

Mengulas lanjut, Norman berkata, selain memupuk kesedaran kepada orang awam terhadap isu tersebut, Finas hanya mempunyai bidang kuasa untuk memantau dan mengambil tindakan terhadap pihak melakukan kesalahan mengedarkan kandungan tanpa lesen sah yang dikeluarkan agensi tersebut.

Bagi kesalahan berkaitan dengan Akta Hak Cipta 1987 pula, beliau berkata, ia terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Sehubungan itu, katanya, kesemua pihak yang terlibat perlu memikirkan sebuah kaedah yang benar-benar berkesan dan selari dengan perkembangan teknologi untuk membendung kegiatan cetak rompak digital.

Artikel Berkaitan:

Norman berkata, sekiranya dibiarkan berlarutan, implikasi yang terhasil daripada kegiatan cetak rompak digital akan memberikan kesan negatif kepada keseluruhan ekosistem kreatif negara termasuk pekerja kreatif, penerbit dan pelabur.

“Pastinya kerugian yang besar itu (akibat cetak rompak digital) benar-benar wujud dan tentunya ia akan menjejaskan hasrat kita untuk mencipta peluang pekerjaan dan menggalakkan pelaburan ke dalam industri.

“Tanpa pelaburan, kita akan kehilangan karya seni terbitan tempatan,” katanya.