'Upah RM1 sudah mencukupi'

Lelaki berkenaan hanya membayar RM1 sahaja bagi kos penyelenggaran pendingin hawa. - Foto Issac Chin
Lelaki berkenaan hanya membayar RM1 sahaja bagi kos penyelenggaran pendingin hawa. - Foto Issac Chin
A
A
A

IPOH - Seorang juruteknik pendingin hawa hanya mengambil upah RM1 selepas membaiki pendingin hawa milik orang kurang upaya (OKU) yang disifatkan sebagai meringankan beban menarik perhatian orang ramai.

Issac Chin berkongsi pengalamannya membantu lelaki OKU berusia 50 tahun yang mengalami pelbagai penyakit selain mengalami masalah kewangan.

Menerusi laporan sebuah portal, lelaki berkenaan telah menghubungi Issac setelah mendapati pendingin hawanya mengalami kerosakan.

Issac dan pembantunya melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan pendingin hawa di rumah lelaki tersebut beberapa hari lalu.

Sebaik kerja-kerja penyelenggaraan selesai, lelaki berkenaan bertanyakan kos pembayaran namun Issac hanya meminta RM1 di mana ia sudah mencukupi.

Pada awalnya, lelaki berkenaan tidak mempercayainya kerana kos tersebut terlalu murah namun pada masa sama mengeluarkan RM1 dari poketnya dan mengucapkan terima kasih.

"Uncle tidak perlu berterima kasih, ini bukan percuma kerana anda sudah membayar RM1. Ini sahaja saya mahukan," kata Issac dalam statusnya di Facebook hingga tular di laman sosial.

Bukan sahaja membantu menyelenggarakan pendingin hawa, Issac dikatakan membaiki bumbung rumah lelaki terbabit selepas menemui kebocoran pada bumbung.

Artikel Berkaitan:

Meskipun pada awalnya lelaki berkenaan menolak bantuan berkenaan namun akur selepas melihat kesungguhan Issac.

Kata Issac, kos upah membaiki bumbung sudah termasuk dengan pembayaran RM1 terbabit.

Kisah perkongsian yang meruntun jiwa ini mendapat perhatian warga maya yang kesemuanya memuji tindakan Issac kerana sudi menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan terutama ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Warga maya juga seakan bertanggungjawab untuk sama-sama membantu keluarga lelaki berkenaan sekiranya memerlukan pertolongan.

Perkongsian terbabit mendapat 11,000 tanda suka dan lebih 2,600 perkongsian sehingga kini.