X

Kindly register in order to view this article
!

Tak wajar PSM saman ASTAF

Abdul Halim
A
A

PERSEKUTUAN Sepak Takraw Asia (ASTAF) mempersoalkan hasrat Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang mahu mengambil tindakan undang-undang selepas berlangsungnya pemilihan jawatankuasa baharu badan induk Asia itu pada Isnin.

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, PSM tidak wajar berbuat demikian kerana 25 anggota ASTAF termasuk PSM telah dimaklumkan tentang Kongres ASTAF kali ini yang dianjurkan secara maya disebabkan Covid-19.

“Bagaimanakah PSM hendak saman Astaf. Saya meragui hasrat dalam kenyataan Presiden PSM (Datuk Seri Ahmad Ismail). Adakah kesemua 18 presiden ahli gabungan PSM bersetuju dengan beliau? Adakah Majlis Tertinggi PSM bersetuju menyaman ASTAF tentang isu ini?

“Saya mengenali hampir semua presiden dan setiausaha ahli gabungan PSM. Citarasa dan sanubari, malah semangat mereka sentiasa tebal dan membara demi memajukan sukan sepak takraw sebagai warisan bangsa Melayu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Selasa, Ahmad yang juga bekas Timbalan Presiden ASTAF mendakwa Kongres ASTAF itu tidak sah kerana terdapat manipulasi terhadap perlembagaan badan induk itu termasuklah dalam soal pindaan tarikh panggilan mesyuarat.

Dalam pemilihan jawatankuasa penggal 2021-2025 itu, Abdul Halim kekal menerajui ASTAF apabila menerima 30 undian manakala Ahmad dan seorang lagi calon yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Singapura (PERSES), Mohd Nasri Haron tidak menerima sebarang undi bagi jawatan presiden.

Ahmad
Ahmad

Wakil Thailand, Charlem Chaiwatcharaporn dari Thailand dan Yogender Singh Dahiya (India) pula memenangi jawatan timbalan presiden selepas masing-masing memperoleh 30 undi serta 29 undi manakala Datuk Abidullah Salleh (Malaysia) dan Asnawi Abdul Rachman (Indonesia) tidak meraih sebarang undi.

“Ia (Kongres ASTAF) mengikut garis panduan bagi menganjurkan mesyuarat agung tahunan (AGM) yang diberikan oleh Pendaftar Pertubuhan-Pertubuhan Singapura (Registrar of Societies) kerana ASTAF didaftarkan di Singapura sejak 2004 dan bukan di Bangkok.

“Bagi tempoh pencalonan pula, seramai 25 anggota (ASTAF) diberikan peluang menyerahkan calon masing-masing dan selepas itu undian dikirim kepada Public Accountant Auditor SB Tan yang bertauliah di Singapura,” jelas Abdul Halim.

Beliau turut mempersoalkan PSM yang tidak membuat pengundian sedangkan beberapa persatuan sepak takraw negara lain seperti Myanmar, Laos, Vietnam, Iraq dan Afghanistan menjalankan tugas mereka mengundi dengan undi proksi.

“Tiada siapa dalam ASTAF termasuk saya boleh mempengaruhi atau mengubah undian yang telah dikirimkan kepada juru audit yang dilantik. Keputusan dilampirkan dalam surat rasmi hanya diserahkan semasa hari Kongres ASTAF kepada Pengerusi Kongres, Boonchai Lorhpipat di Bangkok, Thailand.

“Saya merayu pada semua presiden ahli gabungan PSM, janganlah ambil tindakan melulu menyaman ASTAF. Bukan senang nak saman ASTAF (dan bawa isu ini) ke (Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS).“ASTAF juga akan membawa perkara ini kepada Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan jika perlu, ASTAF akan melaporkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican,” ujarnya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!