UMNO berhak buat keputusan, kata veteran

Othman
Othman
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO berhak membuat keputusan untuk memutuskan kerjasama politik bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa berkata, mereka menyokong keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berhubung kerjasama antara parti tersebut dengan Bersatu.Jelas beliau, keputusan tegas UMNO itu juga sangat baik dan tepat pada masanya khususnya bagi ahli dan akar umbi yang ingin melihat hala tuju parti dalam PRU15.

“UMNO berhak membuat satu keputusan yang mengambil kira kehendak lebih daripada dua pertiga akar umbi dalam menentukan hala tuju parti.

“Jadi selaku wakil veteran, kita menyokong penuh keputusan MKT dan ini satu masa yang sesuai,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Menurut Othman, pengumuman tersebut juga dilihat dibuat tepat pada masanya dan berjaya menjawab persoalan yang menjadi tanya tanya kepada ahli parti berkenaan hala tuju sebenar UMNO pada PRU15.

Pada Khamis, Setiausaha Agung UMNO telah mengesahkan keputusan yang dibuat oleh MKT UMNO dalam mesyuarat MKT pada 19 Februari lalu.

Menurutnya, pada mesyuarat berkenaan, MKT UMNO memutuskan bahawa parti tersebut tidak akan melakukan kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15.

Selain itu, MKT UMNO turut membuat keputusan bagi meneruskan kerjasama bersama kerajaan Perikatan Nasional sehingga Parlimen dibubarkan.

Artikel Berkaitan:

Othman turut meminta parti lain supaya tidak meletakkan sepenuhnya kesalahan terhadap UMNO ekoran daripada perkembangan terbaharu itu.

Katanya, apa yang dibuat oleh UMNO itu adalah keputusan politik bagi menentukan pembentukan kerajaan dalam PRU akan datang dan tidak mempunyai kaitan dengan kedudukan kerajaan yang mentadbir ketika ini.