Dokumentasi pengurusan kewangan sektor awam perlu telus

Kanason
Kanason
A
A
A

SHAH ALAM - Dokumentasi pengurusan kewangan yang telus dapat mengatasi atau sekurang-kurangnya mengurangkan berlakunya kes rasuah.

Bekas Penolong Ketua Audit Negara, P Kanason berkata, berdasarkan kenyataan media, sekitar 60 peratus atau lebih kes rasuah sering dikaitkan dengan sektor perkhidmatan awam.

Malah, katanya, Ketua Audit Negara dalam laporannya pada tahun 2020 turut mendapati banyak pelanggaran peraturan kewangan berlaku dengan kerugian jutaan ringgit membabitkan dana awam.

“Sementara bagi bilangan pemerhatian audit yang masih belum dapat diselesaikan pula berjumlah lebih daripada 350 kes,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata, perkembangan itu amat mengecewakan dan beliau menggesa agar ketua jabatan dapat meneliti dan membaca laporan itu bagi mengelak rasuah dan menambah baik pencapaian prestasi.

Kanason turut mencadangkan beberapa perkara sebagai panduan antaranya petunjuk prestasi utama (KPI) dicapai pegawai mengawal atau kementerian dan jabatan perlu diperiksa dengan lebih teliti.

“Ini termasuk tuntutan yang dikemukakan perlu berasaskan fakta. Berapa banyak dibelanjakan, untuk apa dan apa yang telah dicapai. Ini kerana KPI sekarang tidak begitu mudah untuk difahami.

“KPl seharusnya berkaitan dengan atau berdasarkan standard antarabangsa. Negara jiran Singapura misalnya memberikan contoh yang baik kerana berjaya mematuhi standard antarabangsa itu,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berkata, pengesahan atau tandatangan yang dapat disahkan dari mereka yang diberikan kuasa melalui surat formal diperlukan untuk semua program, projek dan kontrak.

Katanya, ia termasuk untuk anggaran dan semua persiapan anggaran, undangan tender atau perundingan disetujui, kelulusan, penerimaan, variasi dan pembatalan dalam proses perolehan.

“Pegawai yang mengawal perlu menyediakan laporan lengkap pengurusan kewangan dan menyerahkan kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan seperti yang diamalkan di beberapa sektor korporat.

“Antaranya ialah isi pelaporan syarikat korporat terbaik di Malaysia yang memenuhi garis panduan Bursa dan Suruhanjaya Keselamatan sepenuhnya dapat untuk dijadikan contoh,” katanya.