X

Kindly register in order to view this article
!

Sejarah hitam Liverpool

Mount muncul wira apabila menyumbang gol kemenangan Chelsea di Anfield awal pagi Jumaat.
A
A

APA sudah jadi Liverpool? Lima kekalahan berturut-turut pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield menjadi rekod terburuk dalam sejarah skuad The Reds itu.

Ia merupakan kali pertama Liverpool yang juga penyandang juara tewas lima aksi berturut-turut di gelanggang sendiri biarpun sebelum itu mereka gah dengan rekod 68 perlawanan tanpa kalah.

Selepas tumbang kepada Burnley, Brighton, Manchester City dan Everton, Liverpool sekali lagi terpaksa akur betapa Anfield bukan lagi menjadi kubu kuat mereka.

Kali ini, giliran Chelsea memalukan skuad kendalian Jurgen Klopp itu apabila meraih kemenangan 1-0 hasil jaringan penyerang muda, Mason Mount pada minit ke-42.

Kekalahan itu menyaksikan Liverpool kekal menghuni tangga ketujuh apabila merekodkan 43 mata - ketinggalan empat mata di belakang Chelsea yang melonjak ke tangga keempat.

Tatkala Liverpool terus meratapi kekalahan di Anfield, Chelsea pula terus tampil bergaya apabila kekal dengan rekod 10 perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan sejak dibimbing Thomas Tuchel.

Kemenangan ke atas Liverpool juga semakin mencerahkan peluang The Blues untuk menyambar tiket Liga Juara-Juara musim depan.

Sebelum Tuchel hadir ke Stamford Bridge, prestasi Chelsea dilihat tidak menentu sehingga menyaksikan Frank Lampard dipecat pada Januari lalu.

“Kami beraksi dengan penuh keazaman yang tinggi untuk mencipta kemenangan. Kami berhak meraih kemenangan pada perlawanan hari ini.

“Saya harus memberi pujian kepada para pemain. Mereka sentiasa berada di posisi yang betul sehingga memberi kesukaran kepada pasukan lawan sepanjang perlawanan,” kata Tuchel.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!