Keamanan di Afghanistan masih tidak menentu

Afghanistan masih belum mecapai keamanan sepenuhnya sejak tentera Amerika Syarikat menceroboh negara itu bagi menghapuskan kumpulan Al-Qaeda pada tahun 2001. - Foto AFP
Afghanistan masih belum mecapai keamanan sepenuhnya sejak tentera Amerika Syarikat menceroboh negara itu bagi menghapuskan kumpulan Al-Qaeda pada tahun 2001. - Foto AFP
A
A
A

KEAMANAN di Afghanistan yang pernah diceroboh oleh tentera Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2001 masih menjadi persoalan selepas tiga wanita yang merupakan kakitangan media terbunuh dan keganasan di negara itu dilaporkan semakin meningkat.

Dalam keganasan terbaharu itu, sebuah sekutu kumpulan Daesh, dikenali sebagai Daesh Wilayah Khorasan mengaku menembak dan membunuh tiga wanita tersebut selepas mereka pulang dari bekerja di stesen Enikass TV di tiga tempat berbeza di bandar Jalalabad, timur negara itu pada waktu siang, Selasa lalu.

Alasan pembunuhan ketiga-tiga wanita itu yang dibuat oleh kumpulan tersebut ialah mereka bekerja dengan stesen media yang setia kepada kerajaan negara berkenaan.

Baru-baru ini, wartawan-wartawan, para aktivis dan hakim telah diserang hendap oleh kumpulan-kumpulan lelaki bersenjata dan terbunuh akibat letupan yang diletakkan pada kenderaan mereka.

Kejadian pembunuhan telah meningkat sejak perbincangan mengenai rundingan damai bermula pada tahun lalu antara kerajaan negara itu dengan Taliban yang pernah menguasai Afghanistan pada tahun 1990-an.

Sejak sekian lama, Afghanistan dikenali sebagai salah sebuah negara yang paling berbahaya untuk wartawan-wartawan menjalankan tugas di dunia.

Menurut Jawatankuasa Keselamatan Wartawan negara itu, sekurang-kurangnya sembilan pekerja media terbunuh sejak rundingan damai antara Taliban dengan kerajaan diadakan pada bulan September tahun lalu.

Beberapa pegawai AS telah menyalahkan Taliban berhubung satu siri keganasan yang berlaku manakala kerajaan Afghanistan pula menyatakan kumpulan itu berada di belakang Daesh yang mengaku bertanggungjawab dalam beberapa serangan di negara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pembunuhan tiga wanita itu yang berusia 18 hingga 20 tahun dan lulusan sekolah tinggi serta bekerja di Jabatan Alih Suara Enikass TV itu berlaku ketika para perunding kerajaan dan Taliban cuba untuk mencapai satu perjanjian damai.

Ia juga berlaku ketika AS dalam proses mengundurkan sebahagian tenteranya dari negara tersebut.

Selepas pembunuhan itu berlaku, ketua serangan itu dilaporkan telah ditangkap dan dia dikatakan mempunyai hubungan dengan Taliban tetapi jurucakap kumpulan tersebut menafikan ia terlibat dengan serangan berkenaan.

Sebelum ini, Daesh juga mengaku membunuh seorang lagi pekerja di stesen televisyen tersebut iaitu Malala Maiwand.

Namun, tiga wartawan itu dilaporkan dibunuh dengan kejam apabila saksi-saksi memberitahu salah seorang daripada mereka ditembak di bahagian kepala manakala seorang lagi cedera parah dan dirawat di sebuah hospital.

Gambar fail menunjukkan para pejuang kumpulan Taliban di Afghanistan. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan para pejuang kumpulan Taliban di Afghanistan. - Foto AFP

Kebanyakan serangan ke atas wanita itu didakwa dirancang dengan rapi dengan melibatkan masa berbulan-bulan dan dianggap lebih canggih berbanding penggunaan bom bunuh diri yang digunakan oleh pemberontak-pemberontak sebelum ini.

Dalam pada itu, pentadbiran Presiden AS, Joe Biden pula merancang untuk mengkaji semula rancangan untuk menarik semula askar-askar AS dari negara tersebut seperti perjanjian yang dilakukan dengan Taliban pada Februari tahun lalu semasa Amerika di bawah pemerintah Presiden ke-45, Donald Trump.

Berdasarkan perjanjian berkenaan, AS dijangka mengundurkan tenteranya dari Afghanistan pada Mei tahun ini.

Namun, peningkatan dalam keganasan di negara itu telah menyebabkan timbul kebimbangan bahawa pengunduran tersebut kemungkinan akan menyebabkan terjadinya kekacauan yang lebih besar di negara berkenaan.

Biden dilaporkan menghantar Utusan Khas Untuk Perdamaian Afghanistan, Zalmay Khalilzad ke Qatar bagi memulakan rundingan damai dengan para pegawai kerajaan negara itu dan wakil-wakil dari Taliban sejak mengangkat sumpah jawatan pada 20 Januari tahun lalu.

Sebelum ini, tentera AS menceroboh negara itu kerana Presiden ke-43, George W. Bush mahu memenangi perang ke atas keganasan dan menghapuskan Al-Qaeda dan pernah meminta Taliban menyerahkan semua pemimpin Al-Qaeda kepada pihak berkuasa Amerika.

Ketika ini terdapat kira-kira 2,500 askar AS bersama 6,346 kontraktor Amerika berbanding 100,000 anggota tentera negara itu pada tahun 2011.

Menurut portal Council On Foreign Relation, berdasarkan perjanjian pengunduran tersebut, tidak akan ada lagi askar-askar AS berada di negara tersebut pada 1 Mei tahun ini.

Namun, berikutan perkembangan terbaharu itu, adakah pentadbiran Biden akan mengubah keputusan Trump? - Agensi