'Jangan heret perlawanan sehingga penalti'

Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak (kanan) bersama Benjamin Mora bergambar bersama Piala Sumbangsih 2021 yang menjadi rebutan antara pasukan JDT dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada sidang media hari ini sebelum kejuaraan itu yang dijadualkan berlangsung malam esok di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri. - Foto Bernama
Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak (kanan) bersama Benjamin Mora bergambar bersama Piala Sumbangsih 2021 yang menjadi rebutan antara pasukan JDT dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada sidang media hari ini sebelum kejuaraan itu yang dijadualkan berlangsung malam esok di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri. - Foto Bernama
A
A
A

JURULATIH Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora mahu anak buahnya menamatkan pertemuan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Jumaat dalam tempoh 90 minit masa permainan dan tidak mengheret perlawanan hingga ke sepakan penalti.

“Saya tidak suka penalti. Sepakan penalti mencemaskan saya. Justeru kami mahu tamatkan dan menangi perlawanan dalam tempoh 90 minit,” katanya pada sidang akhbar praperlawanan itu di sini pada Khamis.

Jurulatih berusia 41 tahun dari Mexico itu juga percaya anak buahnya tidak akan diberi laluan mudah oleh KDA FC yang dibarisi pemain yang berupaya menterjemahkan strategi permainan dengan baik.

“Kedah merupakan pasukan yang bagus, dibimbing dengan baik oleh Aidil (Shahrin Sahak) dan mereka mempunyai pemain yang hebat di hadapan serta boleh menjadi agresif jika mereka mahu.

“... pastinya mereka juga dahagakan kejayaan dan mahu mencipta kemenangan apabila bertemu JDT, namun kami juga dambakan kemenangan, kami mahu tiga mata penuh dan menang piala. Kami perlu bermula dengan baik agar dapat menamatkan musim dengan baik,” katanya.

Perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim di sini pada Jumaat merupakan pertembungan keempat kedua-dua pasukan dalam merebut Piala Sumbangsih dengan JDT mencatat dua kemenangan iaitu pada edisi 2018 dan 2020, sementara edisi 2017 menjadi milik KDA FC melalui sepakan penalti.

Sementara itu, ketua pasukan JDT, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak membayangkan saingan sengit menunggu KDA FC demi memastikan pasukannya merangkul kejuaraan keempat berturut-turut sejak menewaskan KDA FC pada musim 2018.

Katanya, selagi beliau masih bermain, matlamat utamanya ialah merangkul seberapa banyak kejuaraan bersama JDT, sekali gus membantu pasukan mengekalkan status sebagai antara pasukan terbaik di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Kita telah memenangi tujuh kejuaraan Liga Super dan itu bukan perkara yang mudah.

“Mana-mana pasukan yang bertemu JDT sentiasa akan bagi lebih daripada apa yang kami berikan, jadi itu yang membuatkan saya dan rakan sepasukan perlu lebih berhati-hati,” katanya. - Bernama