BN rayu sidang Parlimen diadakan segera

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) pada Khamis merayu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Seri Paduka Baginda boleh memperkenankan perkara itu dengan menggunakan kuasa di bawah Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dibaca bersama Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut Seksyen berkenaan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ahmad Zahid berkata, sidang Parlimen itu dapat membentangkan perkara termasuk keberkesanan langkah-langkah membendung penularan wabak Covid-19 demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Keberkesanan pelaksanaan Belanjawan 2021 demi memastikan kelangsungan hidup rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40), serta keberkesanan ikhtiar pemulihan ekonomi negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, BN juga mengesyorkan ahli-ahli Dewan Rakyatnya supaya menyeru Perdana Menteri serta Jemaah Menteri untuk menghormati titah Seri Paduka Baginda supaya sidang Parlimen diadakan segera lebih-lebih lagi setelah pelaksanaan PKP dilonggarkan.

“Prinsip keluhuran perlembagaan perlu ditegakkan bagi membolehkan Parlimen memainkan peranan yang wajar dalam memastikan semak dan imbang,” katanya.

Istana Negara dalam kenyataan sebelum ini menyatakan Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri. - Bernama

Artikel Berkaitan: