Lesen peniaga, penjaja dan bayaran separuh sewaan premis dilanjutkan

Annuar
Annuar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan bersetuju untuk melanjutkan tempoh pembaharuan lesen berniaga secara percuma dan diskaun sewaan premis termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) milik agensi itu sehingga 31 Julai ini.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira senario semasa orang ramai ketika ini yang terpaksa berbelanja bagi persiapan pembukaan sekolah selain akan menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri dalam masa terdekat.

“Saya tahu peluang perniagaan lebih terbuka, apabila banyak aktiviti dibenarkan dan kita telah berhijrah daripada situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tapi secara keseluruhan penjaja dan peniaga kecil masih bergelut dengan perniagaan yang sedikit malap, berbanding keadaan biasa.

“..dan walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta pihak berkuasa tempatan terpaksa menanggung kesusutan daripada segi hasil tetapi kita merasakan perlu melanjutkan tempoh pembaharuan lesen percuma dan separuh bayaran sewaan premis,” katanya pada sidang media pada program Myberas@Wilayah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Khamis.

Annuar berkata, langkah itu akan memberi manfaat kepada lebih 40,000 penyewa termasuk hampir 10,000 peniaga dan penjaja, selain 5,000 peniaga yang sedang mengambil bahagian dalam program Wilayah Bebas Berniaga.

Dalam pada itu, Annuar berkata, kementerian itu juga akan mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mempertimbangkan pembukaan bazar Ramadan, namun keputusan itu bergantung kepada pematuhan dan disiplin orang ramai dan penjaja, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada masa ini.

“Kita harus faham (kita) masih belum keluar dari zon selamat, walaupun program suntikan vaksin Covid-19 sudah bermula, namun kepatuhan rakyat kepada SOP harus dipertingkatkan agar jumlah kes dapat dilandaikan,” katanya.

Annuar berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima lebih 2,000 permohonan daripada operator yang mahu membuka bazar Ramadan di sekitar Wilayah Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Pada September tahun lepas, Annuar mengumumkan Inisiatif Wilayah Cakna 3.0 yang bertujuan untuk membantu warga kota terutama golongan B40, yang terjejas ekoran PKP dan antara lain ia turut memberikan diskaun sewaan premis milik DBKL, Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL), selain pembaharuan lesen perniagaan percuma. - Bernama