DVS kemuka cadangan bantu penternak

Laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memandang serius aduan diterima berkaitan harga makanan haiwan ternakan yang melambung khususnya sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut kenyataan DVS, susulan aduan diterima, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama pemain industri yang terdiri daripada pengimport, pengeluar, pembekal makanan ternakan dan penternak bagi mencari solusi terbaik menangani masalah kenaikan harga makanan ternakan berkenaan.

Katanya, antara faktor kenaikan harga makanan ternakan adalah disebabkan kenaikan harga bahan mentah untuk penghasilan makanan ternakan.

“Bahan mentah untuk makanan ayam seperti jagung dan soya adalah sumber import yang memang ada kenaikan di peringkat dunia. Selain itu, jabatan ini juga telah mengemukakan beberapa cadangan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi membantu penternak-penternak yang terkesan.

“Antara cadangan yang dikemukakan ialah elaun pelaburan semula, pengecualian cukai pendapatan dan tabung pinjaman mudah untuk meneruskan operasi,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan kebimbangan dalam kalangan penternak lembu dan kambing di Malaysia berhubung kenaikan harga dedak sehingga lebih enam kali sejak lebih setahun lalu yang dikhuatiri boleh menyebabkan harga daging tempatan meningkat menjelang sambutan Ramadan dan Aidilfitri nanti.

Pada masa yang sama, rata-rata golongan penternak turut memohon kerajaan mengawal harga makanan ruminan selain menyediakan pelan jangka pendek dan panjang bagi mengatasi kemelut yang berlaku antaranya dengan menetapkan harga siling atau meletakkan ia sebagai barang kawalan.

Dalam pada itu, DVS memaklumkan pihaknya kini dalam proses menyediakan kertas dasar bagi cadangan untuk pengurangan eksport PKC/PKE melalui kerjasama DVS-MPI sebanyak 250,000 metrik tan bagi mengekalkan 10 hingga 20 peratus dalam negara dan 80 hingga 90 peratus untuk pasaran eksport dengan harga yang kompetitif.

Artikel Berkaitan:

“Kerjasama strategik antara pelbagai jabatan dan agensi di bawah MAFI bersama pemain industri turut dilaksanakan bagi meningkatkan pengeluaran jagung bijian tempatan secara komersial dan kajian lebih menyeluruh berkaitan kos kawalan penyakit serta peningkatan kualiti jagung bijian tempatan dengan kos pengeluaran minimum.

“Kita juga mendapatkan sumber bekalan bahan mentah makanan ternakan terutamanya bijirin jagung daripada negara jiran Asia seperti Indonesia dan Thailand berbanding Brazil dan Argentina bagi mengurangkan kos logistik,” katanya.

Menurut kenyataan sama, membina gudang simpanan besar bagi stok makanan ternakan di pantai timur seperti saranan FGV Holdings Berhad (FGV) juga satu pilihan.

Jelasnya, penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Sime Darby juga dibuat bagi menghasil dan memperkenalkan bahan mentah gantian yang bersesuaian sebagai bahan mentah utama dalam penghasilan makanan ternakan khususnya untuk makanan ternakan seperti Purafex iaitu rumusan makanan untuk unggas berasaskan PKE.