X

Kindly register in order to view this article
!

PH rayu Agong guna kuasa panggil sidang Parlimen

Anwar
A
A

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membenarkan Parlimen kembali bersidang dalam tempoh darurat.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PH turut menyambut baik titah Al-Sultan Abdullah yang bertujuan menegakkan amalan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan.

Beliau berkata, PH berharap Seri Paduka Baginda menggunakan kuasa yang ada untuk memanggil sidang Parlimen.

“Lantaran itu, demi menegakkan prinsip Keluhuran Perlembagaan dan membolehkan Parlimen memainkan peranan yang wajar bagi memastikan semak dan imbang, kami dengan penuh tawaduk memohon ihsan dan kebijaksanaan KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Agong untuk menggunakan wewenang Duli Tuanku.

“Justeru, selaras dengan kuasa wewenang Duli Tuanku di bawah Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dibaca bersama Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan, kami dengan rendah diri dan seikhlasnya merayu kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Agong; sekiranya diperkenankan, untuk menitah Sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan yang jemaah Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya tidak diadakan sidang Parlimen semasa tempoh darurat adalah amat menghampakan kerana bertentangan dengan pandangan dan titah Seri Paduka.

Tegasnya, sidang Parlimen perlu bagi membincangkan Pengisytiharan Darurat serta Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 bagi memastikan prinsip hak asasi manusia, kebebasan masyarakat madani, ketulusan dan kedaulatan undang-undang dapat dipelihara.

“Selain itu, keberkesanan langkah-langkah untuk membendung penularan wabak Covid-19 demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat, termasuk jadual imunisasi vaksin kepada rakyat.

“Ia juga bagi keberkesanan pelaksanaan Belanjawan 2021 demi memastikan kelangsungan hidup rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta keberkesanan ikhtiar pemulihan ekonomi negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!