KDA FC ikrar kembali rampas gelaran juara

Baddrol Bakhtiar (kanan) bersama Aidil Sharin Sahak bergambar bersama Piala Sumbangsih 2021 yang menjadi rebutan antara pasukan JDT dan KDA FC pada sidang media sebelum kejuaraan itu yang dijadualkan berlangsung malam esok di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri. - Foto Bernama
Baddrol Bakhtiar (kanan) bersama Aidil Sharin Sahak bergambar bersama Piala Sumbangsih 2021 yang menjadi rebutan antara pasukan JDT dan KDA FC pada sidang media sebelum kejuaraan itu yang dijadualkan berlangsung malam esok di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri. - Foto Bernama
A
A
A

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) tekad memulakan saingan Liga Super 2021 dengan bergaya ketika skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak itu mencari peluang untuk menewaskan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat.

Aidil Sharin berkata, keputusan memberangsangkan pada perlawanan pertama itu memberi nilai tambah dalam usaha KDA FC untuk mengekalkan prestasi terbaik sepanjang musim ini.

"Saya hanya perlu banyak memberikan motivasi kepada pemain untuk perlawanan yang pertama dalam musim ini. Anda harus memulakan aksi cemerlang untuk perlawanan pertama musim ini, Insya-Allah, sebagai jurulatih, itulah tugas saya (beri motivasi).

"... dan saya juga mempunyai kapten dan pemain senior yang berpengalaman dan dapat memberi galakan kepada pemain muda seperti musim lalu dengan banyak masalah berlaku," katanya dalam sidang media praperlawanan di Iskandar Puteri pada Khamis.

Walaupun kedua-dua pasukan hanya mempunyai tempoh kira-kira tiga minggu untuk membuat persiapan menjelang awal musim baharu, Aidil Sharin berkata, tempoh tersebut telah dimanfaatkan untuk memperbaiki kelemahan pemain sekali gus membina persefahaman pasukan.

"Semua orang tahu bahawa pramusim belum boleh jadi terbaik ... dengan persiapan dalam tempoh dua atau tiga minggu, tetapi kami telah dapat memperbaiki masalah kami. Kesilapan yang kami lakukan ketika pramusim, jadi pastinya pemain akan belajar dan mudah-mudahan kami akan melakukan yang terbaik untuk perlawanan yang akan datang,” tambahnya.

Menurut beliau, perkara yang penting bagi pasukan kini adalah untuk mempamerkan aksi terbaik di atas padang nanti.

Perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat menyaksikan kedua-dua pasukan bertembung buat kali keempat di pentas itu sejak lima musim lepas, dengan dua kemenangan edisi 2018 dan 2020 menjadi milik JDT manakala KDA FC menewaskan JDT menerusi penentuan sepakan penalti pada edisi 2017.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ketua pasukan KDA FC, Baddrol Bakhtiar berkata, kenangan menjulang kejuaraan Piala Sumbangsih menewaskan JDT akan dijadikan panduan dalam memburu kejayaan esok.

“Mungkin kemenangan itu kami akan bawa pada tahun ini sebagai satu semangat baharu dalam norma baharu. Saya dan rakan-rakan akan berikan terbaik pada, malam esok.

“Tiada sebarang tekanan dirasai dan kami hanya fokus pada perlawanan dan memberikan terbaik,” katanya. - Bernama