Penolakan kerjasama UMNO-Bersatu lahir daripada akar umbi parti

Din Adam
Din Adam
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertitik tolak daripada usul yang dibawa akar umbi parti.

Timbalan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Din Adam berkata, sebahagian besar daripada 191 bahagian UMNO menolak kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menerusi Mesyuarat Perwakilan UMNO yang diadakan sebelum ini.

"Tidak timbul isu UMNO mengkhianat penyatuan Melayu dalam Perikatan Nasional (PN). Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira pendirian yang disuarakan akar umbi parti.

"Perkara ini dibuat atas banyak faktor antaranya berpunca daripada Bersatu sendiri. Selain itu, wujud kebimbangan di peringkat akar umbi parti kemungkinan UMNO terus dikhianati sekiranya kerjasama dengan Bersatu diteruskan dalam PRU15," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Dalam pada itu katanya, keputusan diambil MKT UMNO menolak kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15 disokong sepenuhnya.

"Kita kena akur keputusan yang jelas mengatakan tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihanraya iaitu ketika berlakunya pembubaran Parlimen untuk bertanding.

"Ia bermaksud, sebelum daripada tempoh itu, kerjasama bersama UMNO dalam PN sekarang berjalan seperti biasa," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui bahawa UMNO (BN) akan berjuang bersendirian dalam PRU nanti.

Artikel Berkaitan:

"Kita serah pada rakyat untuk pilih parti mana untuk memimpin kerana mereka sudah merasa berada di bawah kepimpinan UMNO (BN), Pas, PN dan PH (Pakatan Harapan).

"Apa yang pasti UMNO (BN) akan berdiri sendiri dalam PRU nanti dan saya yakin, UMNO akan diterima rakyat dalam PRU15 nanti termasuk di Terengganu," katanya.