Tujuh hospital laksana penilaian lapangan kaedah sampel air liur

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti tujuh hospital untuk menjalankan penilaian lapangan bagi penggunaan kaedah pengambilan sampel air liur (deep throat saliva) bagi ujian saringan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, buat masa ini KKM masih menggunakan kaedah persampelan melalui hidung (nasopharyngeal) dan mulut (oropharyngeal) bagi mengesan kes-kes positif Covid-19.

“Sekarang ni dah tahap penilaian dan kita harapkan kita akan dapat laporan yang lengkap sebelum kita boleh ketengahkan, iaitu kaedah pensampelan menggunakan air liur untuk menjalankan ujian saringan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag).

“Kita harapkan dengan ujian ini akan memberikan ketepatan dan kejituan dalam pengesanan kes-kes positif Covid-19,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini Khamis.

Beliau berkata, tujuh hospital tersebut ialah Hospital Kuala Lumpur; Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah; Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, Terengganu; Hospital Sungai Buloh, Selangor; Hospital Melaka; Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan; dan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor.

Mengenai bekalan vaksin Covid-19 kepada hospital swasta, Dr Noor Hisham berkata, setakat ini hanya pihak kerajaan sahaja diberi kuasa mendapatkan perolehan untuk memperoleh vaksin tersebut.

"...dan oleh kerana ada kekangan mendapatkan bekalan vaksin, kita khususkan pemberian vaksin kepada fasa pertama untuk petugas kesihatan dan barisan hadapan diikuti fasa seterusnya.

“Buat masa ini, KKM juga telah menggunakan fasiliti hospital swasta sebagai pusat pemberian vaksin,” kata Dr Noor Hisham.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu ketika ditanya sama ada Kementerian Kesihatan akan membenarkan hospital swasta untuk mendapatkan vaksin Covid-19 dan menjualnya kepada pelanggan mereka, Dr Noor Hisham berkata, kerajaan sedang memberikan vaksinasi secara percuma untuk semua.

“Kita juga melihat kepada ekuiti, di mana keutamaan diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi, kumpulan rentan dan barisan hadapan.

“Kita kini pada fasa pertama dan kita sedang berikannya kepada barisan hadapan. Diharapkan pada fasa kedua, kita mahu untuk meningkatkan pemvaksinan kepada golongan rentan.

“Apa yang paling penting ialah kita mempunyai bekalan yang mencukupi dan kemudiannya kita boleh gerakkannya bersama (hospital swasta) dalam melaksanakan vaksinasi secara besar-besaran,” katanya.

Sementara itu, berkaitan kluster rumah jagaan warga emas beliau berkata, pada masa ini terdapat 15 kluster aktif dengan 610 orang dijangkiti virus ini (sejak gelombang pertama) melibatkan 583 warganegara Malaysia dan 27 kes melibatkan bukan warganegara.

“Jumlah mereka yang telah disaring di rumah penjagaan warga emas melibatkan 1,840 individu dan kadar kematian 1.48, iaitu tinggi sedikit daripada kadar kematian kebangsaan iaitu 0.38,” katanya.

Katanya, sebagai sebahagian daripada strategi untuk melindungi kumpulan rentan, aktiviti berkumpul bersemuka telah ditangguhkan di rumah jagaan warga emas dan Kementerian Kesihatan juga menyediakan taksiran dan saringan dari semasa ke semasa di rumah-rumah terbabit. - Bernama