Kerajaan hapus kira RM699 juta hutang pinjaman air Kedah

Tuan Ibrahim (tengah) menyaksikan Majlis Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Kedah yang ditandatangani oleh Ammar (kiri) dan Zaini di Wisma Darul Aman pada Khamis.
Tuan Ibrahim (tengah) menyaksikan Majlis Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Kedah yang ditandatangani oleh Ammar (kiri) dan Zaini di Wisma Darul Aman pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan bersetuju menghapus kira pinjaman bekalan air luar bandar negeri Kedah berjumlah hampir RM699 juta melalui Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Kedah.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, baki sebanyak RM1.12 bilion akan diambil alih oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan pembayaran balik disusun semula melalui bayaran sewa pajakan yang dikenakan kepada Syarikat Air Darul Aman (SADA) bagi tempoh masa panjang.

Menurutnya, perjanjian berkenaan memberi peluang besar kepada Kedah untuk membangunkan sistem bekalan air setelah hutang kerajaan negeri semakin berkurangan.

"Inisiatif ini dapat meringankan beban kewangan kerajaan negeri dan tempoh masa pembayaran balik yang panjang pada kadar minimum akan membolehkan SADA membina asas kewangan yang baik ke arah kemapanan jangka masa panjang," katanya ketika majlis Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Khamis.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan dua projek bekalan air pinggiran sungai yang membolehkan takungan air dibuat pada musim hujan.

"Isu besar kita di Kedah ini ialah isu sumber air. Kita telah meluluskan dua projek bekalan air pinggiran sungai atau taps, supaya waktu air banyak pada musim-musim hujan ini dapat kita takung dan dapat kita manfaatkan.

"Takungan ini dibuat di hilir, bukan empangan kalau empangan ia di hulu. Jadi takungan ini dibuat berdekatan dengan loji supaya air dapat dirawat terus di loji," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, suatu projek bernilai RM1 bilion juga turut diluluskan melibatkan pembinaan Loji Rawatan Air di Sidam Kiri,Kuala Muda dan di Kodiang, Kubang Pasu.

Artikel Berkaitan:

"Nilai keseluruhan manfaat yang diperoleh kerajaan negeri menerusi penstrukturan ini melibatkan jumlah bernilai RM2.62 bilion.

Perjanjian penstrukturan itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim, Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Abdul Hadi Ali dan Pengarah Urusan SADA, Datuk Azmi Din.