Pesara polis kongsi pengalaman tumpaskan Botak Chin, Bentong Kali

Razali melawat Tee Siang di Taman Seri Serdang pada program lawatan kebajikan ke rumah pesara pegawai dan anggota polis di Taman Seri Serdang pada Khamis. -Foto Bernama
Razali melawat Tee Siang di Taman Seri Serdang pada program lawatan kebajikan ke rumah pesara pegawai dan anggota polis di Taman Seri Serdang pada Khamis. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Berani dan tekad dalam melaksanakan tugas. Itu pegangan pesara polis Lim Tee Siang yang merupakan antara anggota terbabit dalam menumpaskan 'Botak Chin’ dan 'Bentong Kali’ - dua penjenayah yang terkenal dengan kekejaman mereka di negara ini.

Menjangkau usia 84 tahun, Tee Siang memulakan tugas sebagai anggota polis pada 1957 sebelum bersara sebagai Sub Inspektor di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Menurutnya, ketika operasi menumpaskan kedua-dua penjenayah itu pada 1976 dan 1993, beliau adalah detektif yang bertindak mengumpulkan maklumat tentang mereka.

"Saya tidak boleh dedahkan banyak perkara namun apa yang berlaku tetap dalam ingatan dan menjadikan saya semakin kuat, berani menjalankan tugas," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah pada program lawatan kebajikan ke rumah pesara pegawai dan anggota polis di Taman Sri Serdang, dekat sini pada Khamis.

Tee Siang turut berkongsi pengalamannya menahan perompak yang mengacukan dua pucuk pistol ke arahnya yang pada ketika itu tidak bersenjata, dengan hanya berbekalkan keberanian dan tekad untuk menumpaskan penjenayah tersebut.

"Kita (polis) perlu berani lawan dia (penjenayah). Saya harap anggota polis perlu terus berani dan bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan kes," katanya yang menerima 56 surat kepujian atas segala jasa yang disumbangkan kepada pasukan dan negara.

Beliau turut meluahkan rasa syukur dengan kehadiran anggota polis di kediamannya yang disifatkan sebagai memberi gambaran bahawa jasanya masih dihargai.

Sementara itu, seorang pesara polis ketika zaman darurat, Dahali Zakaria, 88, yang turut dikunjungi berkata, kunjungan pegawai polis berkenaan bukan sekadar bertanya khabar namun turut “mendapatkan ilmu” daripada anggota yang telah bersara.

Artikel Berkaitan:

Dahali yang berkhidmat sebagai anggota polis dari 1948 hingga 1954 itu berkata, walaupun tidak pernah berhadapan dengan komunis, beliau turut merasai kesan kekejaman komunis apabila ramai rakan sepasukan terkorban angkara komunis selain menyaksikan sendiri kesan insiden Bukit Kepong pada 1950.

"Masa itu semua perasaan ada, geram dengan tindakan komunis dan marah kerana disebabkan mereka, ramai yang tidak berdosa meninggal dunia," katanya kepada pemberita di kediamannya di Bandar Kinrara, Puchong di sini.

Terdahulu, Razali mengunjungi tiga pesara polis dan seorang balu kepada anggota polis yang meninggal dunia akibat serangan jantung di sekitar Serdang.

"Hasrat kami supaya mereka ini rasa dihargai kerana mereka sangat berharga kepada kita dan pernah berkorban untuk negara dan pasukan," katanya, menambah seramai 76 pesara polis dikenal pasti di kawasan IPD Serdang. - Bernama