Malaysia Airlines ke arah pemulihan: Khazanah

Khazanah percaya Malaysia Airlines mempunyai struktur kos dan lembaran imbangan yang betul bagi menempuh perjalanan yang sukar selepas pandemik berakhir.
Khazanah percaya Malaysia Airlines mempunyai struktur kos dan lembaran imbangan yang betul bagi menempuh perjalanan yang sukar selepas pandemik berakhir.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Khazanah Nasional Bhd menjangkakan industri penerbangan global akan pulih seawal 2023 atau 2024 tetapi percaya Malaysia Airlines Bhd mempunyai struktur kos dan lembaran imbangan yang betul bagi menempuh perjalanan yang sukar selepas pandemik berakhir.

Menurut Pengarah Urusan, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, pemulihan industri terutama daripada segi pendapatan, akan mengambil masa bertahun-tahun untuk setara dengan tempoh sebelum Covid-19 dan sangat bergantung kepada fasa pemulihan pandemik, pembukaan semula sempadan antarabangsa serta permintaan perjalanan.

Pelan penstrukturan semula MAB yang meluas yang membabitkan persetujuan daripada Mahkamah United Kingdom pada 22 Februari lepas memberikan syarikat penerbangan itu, prospek yang jauh lebih baik walaupun ramai orang berpendapat, beberapa bentuk penyatuan dalam industri berkenaan adalah tidak dapat dielakkan.

“Lebih kurang RM15 bilion liabiliti tertunggak dalam keseluruhan struktur hutang telah diselesaikan, sama ada melalui pengampunan hutang atau penumpuan hutang kepada ekuiti, membolehkan lembaran imbangan ditetapkan semula pada tahap yang lebih mampan.

''Kami juga menerima sokongan penting pemiutang daripada segi pengurusan kecairan, misalnya, untuk mewujudkan struktur kos yang lebih berdaya maju pada masa akan datang," katanya semasa persidangan maya selepas membentangkan laporan prestasi kewangan Khazanah 2020 pada Khamis.

Shahril Ridza menjelaskan Khazanah juga telah menangguhkan penghantaran pesawat baharu ke satu tarikh iaitu selepas pasaran mula memulih memandangkan pemilikan itu akan menelan angka yang agak besar daripada langkah penstrukturan semula kosnya.

Di bawah pelan penstrukturan semula itu, Khazanah komited untuk menyuntik sehingga RM3.5 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang, satu langkah penting bagi memberi gerenti kepada pemiutang agar mereka dapat memberikan diskaun, potongan dan penumpuan hutang kepada ekuiti yang diperlukan untuk memperbaiki lembaran imbangan syarikat penerbangan berkenaan.

Katanya lagi, dana kedaulatan itu komited bagi menyokong Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) dalam melaksanakan penstrukturan semula dalamannya.

Artikel Berkaitan:

MAG akan memberi tumpuan untuk bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkepentingan bagi memulihkan semula perjalanan udara termasuk industri secara keseluruhan, serta meneruskan inisiatif pemuliharaan tunai syarikat penerbangan itu.

Khazanah Nasional adalah pemegang saham tunggal MAB, melalui anak syarikatnya MAG.

Shahril Ridza ketika ditanya mengenai sebarang jaminan jika MAB mampu mencipta keuntungan selepas program penstrukturan semulanya berkata, "tiada jaminan tetapi apa yang telah kami buat adalah menjalankan perundingan dengan semua pihak berkepentingan untuk meletakkan syarikat penerbangan itu dalam kedudukan yang lebih baik".

Industri penerbangan di Malaysia mempunyai situasi terlebih bekalan untuk jangka masa yang sangat lama, ini menyebabkan penyatuan tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, pemilikan sebuah syarikat penerbangan nasional adalah pendekatan yang amat tepat untuk Malaysia berhubung dengan dunia, bagi membawa masuk kargo dan bekalan vaksin Covid-19, yang mana Malaysia Airlines kini berada di barisan hadapan untuk negara.

''Pelaburan yang kami lakukan dalam beberapa tahun akan datang akan memastikan syarikat penerbangan ini berkembang sehingga ia mengalami pemulihan, yang merupakan sebahagian daripada sokongan yang diperlukan untuk ekonomi dan infrastruktur negara,'' katanya lagi.

Pada 2020, keuntungan operasi Khazanah jatuh kepada RM2.9 bilion berbanding RM7.4 bilion yang dicatatkan semasa 2019.

Pendapatan dividen daripada syarikat pelaburan meningkat kepada RM5.2 bilion daripada RM3.8 bilion tetapi diimbangi oleh keuntungan pelupusan yang lebih rendah sebanyak RM2.7 bilion berbanding RM9.9 bilion pada 2019.

Impak pandemik Covid-19 membawa kepada kemerosotan yang lebih tinggi sebanyak RM6.0 bilion, terutamanya dalam aset penerbangan dan perhotelan, berbanding RM4.9 bilion pada tahun sebelumnya. - Bernama