Zahid terima cek RM6 juta: Saksi

Ahmad Zahid (kiri) hadir pada prosiding sambung bicara kesnya di Mahkamah Tinggi pada Khamis.
 - Foto Bernama
Ahmad Zahid (kiri) hadir pada prosiding sambung bicara kesnya di Mahkamah Tinggi pada Khamis.
 - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Hizar Farhan Abdul Razi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima dua cek daripada Timbalan Pengarah Urusan Datasonic Group Berhad (DGB) berjumlah RM6 juta.

Saksi ke-91 kes rasuah, pecah amah dan pengubahan wang haram membabitkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, ia berlaku selepas insiden kekurangan pasport pada 2016.

Ekoran kejadian itu juga, Mohd Hizar Farhan berkata, Timbalan Pengarah DGB, Chew Ben Ben pernah dipanggil pada 16 September tahun yang sama.

"Ben Ben diminta hadir ke kediaman rasmi Ahmad Zahid di Seri Satria, Putrajaya dan selepas perjumpaan itu beliau menyerahkan dua keping cek berjumlah RM6 juta kepada tertuduh.

"Cek itu ditandatangani oleh pemilik syarikat Sarana Kencana Sdn Bhd (SKSB) yang juga Pengarah Datasonic Teknologi Sdn Bhd (DTSB), Datuk Abu Hanifah Noordin," katanya.

Untuk rekod, Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) yang juga anak syarikat DGB, sebelum ini menerima kontrak untuk membekalkan cip pasport Malaysia bagi tempoh lima tahun atau 12.5 juta cip bermula dari 1 Disember 2016 hingga 30 November 2021 bernilai RM318.75 juta.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan daripada peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Mohd Hizar Farhan bersetuju bahawa Ahmad Zahid tidak melanggar prosedur berhubung isu permohonan pembekalan cip pasport pada tahun tersebut.

Saksi berusia 32 tahun itu juga bersetuju bahawa tindakan itu tidak menyalahi undang-undang.

Artikel Berkaitan:

"Saya mendapati bahawa Ahmad Zahid adalah Menteri Dalam Negeri sejak dari 16 Mei 2013 sehingga 9 Mei 2018.

"Selaku menteri, Ahmad Zahid telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengambil tindakan ke atas surat-surat daripada DGB," katanya ketika membaca pernyataan saksi.

Beliau berkata, ia membabitkan surat permohonan untuk pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 Juta cip yang akan dimasukkan ke halaman Biodata Polycarbonate Pasport Malaysia.

Dalam prosiding itu pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun, manakala Ahmad Zahid diwakili peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.