'UMNO sokong kerajaan PN bukan parti'

Noh (kiri) menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital Tanjong Karang, Selangor pada Khamis.
Noh (kiri) menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital Tanjong Karang, Selangor pada Khamis.
A
A
A

TANJONG KARANG - [DIKEMASKINI] UMNO hanya memberikan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga pembubaran Parlimen dan masih kekal dengan keputusan tidak menyertai PN.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, keputusan menyokong kerajaan dan parti adalah dua perkara berbeza yang perlu difahami dengan jelas.

"Kerajaan PN ini diwakili komponen Barisan Nasional (BN) termasuk UMNO, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain di Sabah, manakala parti PN hanya membabitkan parti politik tertentu yang tidak disertai UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital Tanjong Karang di sini pada Khamis.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, ahli Parlimen UMNO akan menyokong kerajaan PN sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Apabila Parlimen dibubarkan kerajaan sedia ada (PN) sudah tiada lagi dan kalau ada sekali pun hanyalah kerajaan sementara sahaja yang tidak mempunyai kuasa membuat dasar-dasar baharu," kata beliau.

Mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyatakan Jemaah Menteri bersetuju sidang Parlimen ditangguhkan hingga 1 Ogos depan, Noh berkata, pemimpin itu sepatutnya perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

Katanya, keputusan penangguhan berdasarkan alasan perundangan serta analisis data dan kesihatan mengenai kekhuatiran penularan di dalam bangunan Parlimen terutama mereka yang berisiko atas faktor umur dianggap seolah-olah ahli Parlimen yang bersidang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Artikel Berkaitan:

Malah, katanya, Parlimen boleh bersidang dengan segera selepas semua ahli Parlimen menerima suntikan vaksin Covid-19 di bawah fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Tegas Noh, sudah tiba masanya kerajaan meyakinkan rakyat bagi membuktikan bahawa pembelian vaksin ini berkesan menghalang penularan Covid-19.

"Kalau kita yakin vaksin ini boleh menghalang daripada jangkitan dan dalam masa kami mengikut SOP ditetapkan, sepatutnya tak ada sebab Parlimen tak boleh bersidang," katanya.