X

Kindly register in order to view this article
!

Arahan bekerja dari rumah masih kekal

Ismail Sabri pada sidang akhbar mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Arahan bekerja dari rumah masih berkuat kuasa walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri kini dilonggarkan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ini kerana hingga kini belum ada kenyataan yang menyatakan sebaliknya daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atau Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

“Belum ada laporan tentang perkara ini, setakat ini kekal seperti biasa.

“Insya-ALLAH kita akan bincangkan dalam mesyuarat nanti sama ada terdapat keperluan untuk mengekalkan (arahan bekerja dari rumah) atau mereka (pekerja) boleh mula bekerja di pejabat,” katanya pada sidang akhbar perkembangan PKPB di sini pada Khamis.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Rumah Sewa Anong dan Rumah Sewa Beverly Hills di Bintulu, Sarawak bermula 5 hingga 18 Mac.

“Setakat 3 Mac 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 1,247 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 84 kes positif telah direkodkan di kedua-dua lokaliti ini,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan juga memutuskan untuk melaksanakan PKPD di Sekolah Henry Gurney di Telok Mas, Melaka bermula 6 hingga 19 Mac ini.

“Hingga 3 Mac 2021, sebanyak 152 kes positif telah direkodkan yang melibatkan lima kakitangan, lapan ahli keluarga dan 139 tahanan.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penghuni yang terlibat serta mengawal penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya.

Mengulas mengenai pelajar universiti dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) baru-baru ini, Ismail Sabri berkata, setiap individu tertakluk kepada undang-undang tanpa mengira peringkat umur.

“Dasar kita, siapa melanggar SOP dan melakukan kesalahan tidak membezakan sama ada pelajar atau sesiapa, bila mereka bersalah mereka boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Mengenai perjalanan rentas negeri antara zon hijau, Ismail Sabri berkata, perkara tersebut sedang diperincikan dan dipertimbangkan.

“Kita tidak mahu sekiranya diumumkan, ia akan jadi masalah, perkara ini sedang diteliti oleh Majlis Keselamatan Negara dan KKM," katanya. - Bernama

[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan)

[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)

Posted by Sinar Harian on Wednesday, March 3, 2021


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!