Kes lemas dalam besen tiada unsur jenayah: Polis

AA Anbalagan. Gambar kecil: Laporan Sinar Harian pada Rabu.
AA Anbalagan. Gambar kecil: Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis mengesahkan tiada unsur jenayah berhubung kematian seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai lemas di dalam besen di rumah pengasuhnya di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, selain itu, doktor turut mengesahkan tiada sebarang kecederaan yang mencurigakan pada tubuh mangsa.

Menurutnya, pengesahan itu diperoleh selepas proses bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) pada jam 9.25 pagi, Khamis selama tiga jam 35 minit.

"Hasil bedah siasat, doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia kerana terdapat kebocoran pada organ perut yang mana telah menyebabkan pendarahan dan pembekuan sistem darah.

"Pakar perubatan forensik juga berpendapat tiada unsur jenayah dikesan pada kecederaan organ dalaman mangsa. Kecederaan tersebut berkemungkinan berlaku ketika proses bantuan pernafasan (CPR) yang dilakukan oleh pengasuh untuk menyelamatkan mangsa," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Anbalagan berkata, bagaimanapun, pengasuh tersebut yang berusia 43 tahun direman empat hari sehingga 7 Mac ini untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 selari bersama mati mengejut (SDR).

Pada Rabu, seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun lima bulan ditemui tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Batu Maung, Bayan Lepas dipercayai lemas dalam besen.

Artikel Berkaitan:

Mangsa, Sophia Fatehah Wan Farhan Danial menghembuskan nafasnya di Hospital Pulau Pinang pada jam 2 pagi, Rabu.

Menurut siasatan awal, pengasuh mangsa telah mengisi air di dalam besen sehingga hampir penuh untuk memandikannya pada jam 11 pagi.

Bagaimanapun, dia terlupa untuk mengambil tuala lalu pergi mengambilnya lebih kurang jarak 10 langkah dari bilik air namun apabila kembali semula ke bilik air, dia mendapati kepala mangsa telah tenggelam dengan hampir separuh badan berada di dalam air (dalam besen) manakala kakinya di luar besen.

Pengasuh hanya menyedari mangsa dalam keadaan lemah dan tidak bermaya selepas 30 minit kemudian lalu menghubungi talian kecemasan untuk bantuan.

Dalam masa sama, dia cuba membuat CPR terhadap mangsa sebelum mangsa dibawa ke HPP untuk rawatan lanjut.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa kanak-kanak lemas dalam besen reda

Budak 2 tahun mati lemas dalam besen rumah pengasuh