Makaf harap MSN tak pilih kasih

Nur Azmi
Nur Azmi
A
A
A

PERSEKUTUAN Karate Malaysia (Makaf) berharap Majlis Sukan Negara (MSN) tidak bersikap pilih kasih dalam menyalurkan peruntukan kepada persatuan sukan di negara ini.

Setiausaha Agung MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, MSN seharusnya memberi peruntukan dengan adil kepada semua persatuan sukan dan bukan hanya tertumpu kepada sukan popular.

"Kita lihat MSN lebih fokus kepada sukan glamour. Sebagai pemegang amanah untuk menyalurkan peruntukan, sepatutnya MSN mendengar perancangan dan pandangan kami, bukannya mereka yang putuskan kesemuanya.

"Kalau begitu lebih baik mereka yang melakukan kerja urus tadbir persatuan sukan. Ini saya tengok bila bercakap soal peruntukan sukan glamour lebih diberikan keutamaan walaupun tidak mempunyai pencapaian.

“Jika panggil mesyuarat tetapi tidak boleh menerima pandangan badan induk sesuatu sukan lebih baik jangan adakan mesyuarat. Sebaliknya sukan tempur seperti kami tidak dipandang, walhal pingat emas kami adalah lebih berharga setiap kali apabila berlangsungnya temasya utama," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada masa sama, Azmi juga berharap agensi sukan kerajaan itu dapat menghargai keringat jurulatih tempatan dengan menawarkan tangga gaji yang lebih baik kepada mereka.

"Peruntukan kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya mereka selaraskan mengikut pencapaian sukan tersebut. Ini tidak, kenaikan gaji jurulatih tempatan hanya lima peratus bagi tempoh dua tahun iaitu dalam RM140 saja.

"Kenapa jurulatih import boleh bayar mahal, tengok macam sukan-sukan lain yang glamor mereka diberi peruntukan besar dari aspek pembayaran gaji jurulatih, apa keistimewaan jurulatih tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi bila nak pingat tetap harap kepada sukan tempur seperti kami. Makaf tidak menyambung kontrak jurulatih import dari Iran, Ali Reza yang menerima gaji RM18,000 sebulan sebab nak beri peluang kepada jurulatih tempatan dengan harapan sekurang-kurangnya jurulatih elit tempatan mendapat gaji RM5,000 seorang.

"Namun, berbaloikah untuk jurulatih tempatan sekiranya gaji dibayar hanya bawah RM4,000 tetapi nak prestasi bagus sama seperti jurulatih import. Kita kena jaga kebajikan jurulatih tempatan kerana periuk nasi mereka sepenuhnya bergantung kepada pendapatan dalam sukan. Saya berharap campur tangan Menteri Belia dan Sukan dalam hal ini," ujarnya.