Tak larat nak bagi nasihat isu Macau Scam: Ayob Khan

Ayob Khan menunjukkan foto suspek yang terlibat dengan sindiket penipuan dalam talian pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Khamis.
Ayob Khan menunjukkan foto suspek yang terlibat dengan sindiket penipuan dalam talian pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor menerima 40 laporan polis berkaitan kes Macau Scam dengan jumlah kerugian lebih RM1.48 juta bagi dua bulan pertama dalam tahun ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya hairan kerana kes Macau Scam masih terus berlaku walaupun pelbagai peringatan dan nasihat sudah diberikan pihak polis kepada orang ramai.

"Tak larat kita nak bagi nasihat, perkara yang sama berlaku," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada Khamis. Hadir sama Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Kaw Kok Chin.

Beliau berkata, sebanyak 421 laporan polis berkenaan kes Macau Scam dengan jumlah kerugian RM26 juta dilaporkan sepanjang tahun lalu.

Katanya, bagi kes penipuan pinjaman tidak wujud pula, sepanjang tahun lalu sebanyak 961 laporan polis diterima dengan jumlah kerugian sebanyak RM9.43 juta.

Sementara bagi Januari hingga Februari tahun ini katanya, 108 laporan polis diterima dengan jumlah kerugian RM1.364 juta.

Selain itu katanya, menerusi Ops Mule (keldai akaun) sepanjang tahun lalu JSJK Johor berjaya membuat tangkapan 342 orang dengan jumlah kerugian RM6.403 juta.

"Pada Januari hingga Februari 2021 pula 92 orang telah berjaya ditangkap dengan jumlah kerugian RM1.694 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu katanya, polis Johor menasihatkan orang ramai supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi dan perbankan sepeerti nombor akaun, nombor kata laluan atau one time password (OTP) kepada pihak ketiga.

Beliau menambah, ahli sindiket akan menggunakan akaun tersebut sebagai 'mule akaun' bagi menipu mangsa lain.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai penipuan Macau Scam atau jenayah komersial lain diminta menghubungi pegawai risikan/operasi JSJK IPK Johor, Asisten Superitendan Timmy Anak Aheng menerusi talian 019-7773728 atau infoline JSJK 013-2111222.