Petugas kesihatan ditegah muat naik pernyataan awam tanpa kebenaran

Mohd Shafiq Abdullah
Mohd Shafiq Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - Petugas kesihatan ditegah untuk memuat naik pernyataan awam berhubung pelaksanaan apa-apa dasar awam, program dan keputusan kerajaan tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu.

Pernyataan yang tidak wajar dan dibuat tanpa usul periksa bukan sahaja menjejaskan imej penjawat awam, malah boleh menyebabkan kekeliruan dan kegelisahan dalam masyarakat serta menjejaskan kredibiliti perkhidmatan awam dan kerajaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata, KKM memandang serius berhubung dengan salah laku dalam penggunaan media sosial dan kecenderungan pegawai membuat pernyataan awam secara tidak wajar.

"Setiap pegawai di KKM dari masa ke masa diingatkan supaya memelihara kesopanan dan kesusilaan semasa menggunakan media sosial dan menjaga batas-batas penggunaannya agar tidak terjebak sebagai salah laku yang boleh dikenakan hukuman tatatertib.

"Setiap kes yang diadukan atau dikenal pasti sekiranya disabit kesalahan, hukuman tatatertib akan dikenakan berdasarkan kepada peraturan yang berkuat kuasa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian merujuk kepada edaran pernyataan awam yang tersebar dalam media sosial mengenai pelaksanaan pemberian vaksin yang kononnya ditulis oleh petugas kesihatan KKM.

Mohd Shafiq berkata, peraturan berkaitan dengan etika dan tata kelakuan dalam perkhidmatan awam khususnya berkaitan dengan penggunaan media sosial dan tegahan membuat pernyataan awam secara tanpa kebenaran, bukanlah bertujuan menghalang mana-mana pegawai untuk bersuara.

"Ia lebih kepada memastikan pegawai menggunakan saluran maklum balas dan aduan yang betul serta menjaga imej dan kredibiliti pegawai, perkhidmatan awam dan kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan: