Taktik seludup rokok di sebalik tandas bergerak terbongkar

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya membongkar kegiatan penyeludupan rokok putih dan kretek yang berselindung di sebalik tandas bergerak, hasil serbuan terhadap sebuah premis di Kelapa Sawit dekat Kulai Ahad lepas.

Pengarah Kastam Johor, Sazali Mohamad berkata, serbuan di premis berkunci dan tidak berpenghuni oleh anggota kastam Bahagian Penguatkuasaan, Sungai Pulai itu, dilakukan pada kira-kira 11.50 malam dan menemukan sejumlah 217,160 batang rokok putih serta rokok kretek.

“Kesemua 184,200 batang rokok putih dan 32,960 batang rokok kretek dipercayai belum lulus kastam itu dianggarkan bernilai RM187,048 termasuk cukai.

“Kesemuanya ditemukan disembunyikan di dalam sebuah lori lima tan berwarna putih yang diubah suai menjadi tandas bergerak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sazali berkata pihaknya percaya premis tersebut digunakan sebagai tempat penyimpanan rokok yang dipercayai diseludup dari negara jiran, sebelum diedar di pasaran tempatan.

Beliau berkata, usaha kini sedang dilakukan untuk mengesan pemilik premis dan lori terbabit, bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Barang kes (rokok putih dan kretek) disembunyikan di dalam lori yang berfungsi sebagai tandas bergerak, dan diedarkan dengan menggunakan kenderaan sama untuk tujuan mengelak daripada dikesan oleh agensi penguatkuasaan, dan mengaburi pandangan pihak berkuasa,” katanya.

Sehubungan itu JKDM Johor, menyeru orang ramai supaya memberi kerjasama menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran. - Bernama

Artikel Berkaitan: