Lima beranak hilang tempat tinggal

Anggota bomba memadam kebakaran di sebuah rumah di Taman Dahlia,Padang Tengku pada Khamis. Foto: Ihsan bomba
Anggota bomba memadam kebakaran di sebuah rumah di Taman Dahlia,Padang Tengku pada Khamis. Foto: Ihsan bomba
A
A
A

LIPIS - Lima beranak hilang tempat tinggal selepas rumah mereka di Taman Dahlia dekat Padang Tengku di sini musnah dalam kebakaran pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Mohd Sabri Zali, 37, bersama isteri, Asmawati Wan Ismail, 37, dan tiga anak mereka berusia 9 tahun hingga 8 bulan tiada di rumah.

Sabri berkata, ketika kejadian dia dan isterinya sedang bekerja, manakala anak mereka berada di sekolah serta di rumah pengasuh.

"Saya mengetahui kejadian ini selepas mendapat panggilan daripada isteri yang bertugas sebagai guru.

"Syukur kerana ketika kejadian kami anak beranak semuanya tiada di rumah," katanya yang bekerja sendiri.

Menurutnya, akibat kejadian itu dia mengalami kerugian RM30,000.

"Buat sementara waktu, saya sekeluarga akan menumpang di surau taman," katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 3 Penguasa Bomba Shahrul Nizam Nasir berkata, kejadian itu melibatkan dua buah rumah jenis teres kos rendah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, seramai tujuh anggota dengan tiga pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis bersama sebuah jentera pemadam serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Anggaran kemusnahan rumah mangsa adalah 90 peratus dan sebuah lagi 30 peratus.

"Tiada mangsa yang terlibat. Jumlah kerugian serta punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank (156114358994) atas nama Mohd Sabri Zali.