Pemuda Pas Selangor mahu polis siasat DAP

Syarhan (depan,tengah) bersama wakil daripada Pemuda Pas Selangor membuat laporan polis di IPD Shah Alam bagi mendesak polis melakukan siasatan terhadap DAP berhubung dakwaan parti itu menerima dana asing.
Syarhan (depan,tengah) bersama wakil daripada Pemuda Pas Selangor membuat laporan polis di IPD Shah Alam bagi mendesak polis melakukan siasatan terhadap DAP berhubung dakwaan parti itu menerima dana asing.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor mendesak polis menyiasat pendedahan dan pengakuan pihak tertentu yang mengaitkan DAP dengan bantuan atau penerimaan dana asing.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Syarhan Humaizi Halim berkata, ini kerana pendedahan dan pengakuan itu dibuat oleh individu berkaliber.

“Kita mahu polis siasat dakwaan-dakwaan yang dibuat. Mereka bukan orang sembarangan tetapi daripada pihak yang berkaliber seperti bekas Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohamad Razali Abdul Rahman dan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

“Mereka secara jelas mengeluarkan kenyataan berkaitan hal tersebut sebelum ini,” katanya dalam sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Syarhan sebelum itu bersama Naib Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohd Huzaifah Mokhtar membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Syarhan berkata, dalam laporan polis yang dibuat itu, Pemuda Pas Selangor turut menyertakan beberapa bukti berhubung dakwaan yang dibuat terhadap DAP.

“Kita minta polis siasat bukti-bukti penerimaan dana asing ini. Tujuannya adalah supaya apa sahaja kedudukan atau ruang demokrasi di negara kita ini tidak ada campur tangan pihak asing.

“Kita khuatiri jika pihak parti tertentu mendapat dana daripada pihak asing ia sedikit sebanyak boleh mengganggu gugat perjalanan demokrasi dalam negara kita,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi mahu polis kembali menyiasat dakwaan tersebut selepas parti itu tidak menghadapi sebarang tindak balas perundangan, mahu pun sebarang penafian terhadap dakwaan tersebut.

Katanya, semua dakwaan terhadap DAP adalah serius, yang berlaku secara sulit dan menyalahi integriti serta undang-undang, di mana ia boleh mendalangi tindakan atau langkah urus tadbir berkaitan.

Bahkan katanya, tindakan DAP itu dipercayai bertujuan politik yang boleh menggugat kedaulatan, keselamatan dan kepentingan negara.