Rakyatpreneur Bank Rakyat bimbing usahawan berpotensi

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

SHAH ALAM - Bank Rakyat memperkenalkan program Rakyatpreneur bagi menyokong pembangunan perniagaan mikro daripada latar belakang yang kurang berkemampuan dan berpotensi tinggi untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, program Rakyatpreneur bertepatan dengan usaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dalam membantu usahawan B40 termasuk perniagaan informal yang terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19.

Menurutnya, walaupun ekonomi negara dijangka bertambah baik pada tahun ini, namun masih terdapat perniagaan yang terjejas dan belum dapat beroperasi sepenuhnya susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan di seluruh negara.

“Usahawan daripada golongan B40 dan informal yang tidak berdaftar adalah antara terkesan dengan situasi Covid-19 kerana kebanyakannya bergantung kepada pendapatan harian serta tidak mempunyai simpanan wang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar berkata, beliau berharap agar inisiatif ini dapat membantu lebih ramai rakyat terutamanya golongan asnaf dan B40 dalam meningkatkan taraf hidup dengan mengembangkan lagi perniagaan mereka.

"Program ini juga dapat memperkasakan bakat usahawan tempatan dan memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan masyarakat, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk menjadi negara keusahawanan berpendapatan tinggi,” katanya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan pula berkata, program Rakyatpreneur dijangka akan memberi impak dalam membuka potensi keusahawanan dan memberi peluang kepada komuniti yang kurang (underserved) dan tidak (unserved) mendapat perhatian untuk merealisasikan impian menjadi usahawan berjaya.

“Program Rakyatpreneur ini juga membuktikan Bank Rakyat sentiasa berusaha untuk memahami permasalahan serta keresahan pelanggannya khususnya daripada golongan yang kurang berkemampuan.

Artikel Berkaitan:

“Kami yakin program ini sangat relevan dalam membantu peserta memperoleh dana perniagaan, bimbingan serta kemahiran baharu untuk menjamin kelangsungan perniagaan sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Untuk rekod, seramai 20 peserta terpilih untuk menyertai projek rintis Rakyatpreneur yang dilancarkan pada Disember tahun lalu.

Peserta terdiri dalam kalangan pengusaha industri kecil dan sederhana yang mempunyai pendapatan bulanan purata antara RM1,000 hingga RM3,000.