Saya bukan pertikai, hanya bertanya: Annuar Musa

Annuar (kiri) menjawab soalan pemberita selepas turun padang bagi penyerahan surat tawaran dan kunci unit PPR Pekan Salak Selatan pada Khamis.
Annuar (kiri) menjawab soalan pemberita selepas turun padang bagi penyerahan surat tawaran dan kunci unit PPR Pekan Salak Selatan pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menjelaskan beliau tidak mempertikaikan keputusan UMNO untuk memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Sebaliknya menurut Annuar, beliau hanya bertanya mengenai kandungan surat itu yang disifatkan kurang jelas memandangkan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Janda Baik sebelum ini tidak dimaklumkan kepada ahli parti itu.

Beliau berkata, setiap ahli di 22,000 cawangan UMNO seluruh negara berhak mengetahui mengenai keputusan berkenaan.

"Saya bukan pertikai, saya cuma bertanya berita tak berapa jelas kerana kalau kata UMNO tak mahu bekerjasama dengan Bersatu, yang nak kena laksanakan nanti adalah 22,000 cawangan. Jadi tak boleh berahsia.

"Keputusan itu melibatkan ahli, jadi mereka kena tahu. Kalau peringkat saya tak tahu, bawah pun lagilah tak tahu," katanya selepas turun padang bagi penyerahan surat tawaran dan kunci unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Salak Selatan pada Khamis.

Sebelum ini, Annuar menerusi satu kenyataan pada Rabu meminta agar pimpinan UMNO memberi penjelasan kepada akar umbi berhubung keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam PRU15 akan datang.

Bersatu pada Khamis turut mengesahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghantar surat berhubung pendirian parti itu kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Annuar gesa Zahid perjelas hubungan BN, Bersatu

UMNO sah tamatkan kerjasama dengan Bersatu

Sah UMNO putuskan hubungan dengan Bersatu

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, pihaknya berpendapat perbincangan mengenai pilihan raya tidak sewajarnya dibangkitkan buat masa ini berikutan tempoh penggal Parlimen akan terbubar adalah pada tahun 2023.

"Sepatutnya kita kerjasama bantu rakyat. Mahu tak mahu, mereka (Bersatu) berada dalam kerajaan dan kita juga dalam kerajaan.

"Tapi bila kita bentuk satu suasana seolah-olah nak bercerai, ia boleh mengganggu hubungan baik, hubungan bekerja dan sebagainya," katanya.

Tambah Annuar, setiap pimpinan bahagian dan negeri mempunyai hak masing-masing untuk membuat keputusan berhubung surat yang dikeluarkan Majlis Kerja Tertinggi parti itu.

"Itu saya fikir negeri dan bahagian, mereka ada hak masing-masing (untuk buat keputusan).

"Saya di Ketereh, nak kerjasama dengan semua sebab saya wakil rakyat di situ. Ini masing-masing punya pendirian," katanya.