X

Kindly register in order to view this article
!

2 kilang kitar semula diarah henti operasi

Dua kilang kitar semula di Kawasan Perindustrian Perai diarahkan menghentikan operasi serta-merta oleh JAS Pulau Pinang pada Rabu.
A
A

GEORGETOWN - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang pada Rabu mengarahkan dua kilang kitar semula plastik di Kawasan Perindustrian Perai menghentikan operasi serta-merta.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya menyerbu dua premis tersebut selepas menerima aduan daripada orang awam berhubung pencemaran yang dihasilkan oleh kilang tersebut.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati, salah sebuah kilang tersebut menjalankan operasi kitar semula sisa plastik tanpa kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan pihaknya mengeluarkan Notis Arahan mengikut Seksyen 38, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi menghentikan pencemaran dan membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Kilang yang dilengkapi dengan mesin pengisar itu menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk berhampiran terutama pada waktu malam hingga awal pagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, kilang tersebut juga dikesan menjalankan aktiviti basuhan sisa plastik tanpa dilengkapi sistem pengolahan efluen perindustrian.

“Penahanan operasi kelengkapan serta-merta bertujuan menghentikan pencemaran daripada berterusan.

“Siasatan lanjut turut mendapati kilang tersebut mempunyai Lesen Import (AP) sisa plastik daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) yang beralamat di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak,” katanya.

Sharifah Zakiah berkata, pihaknya turut menahan operasi kelengkapan ke atas sebuah lagi kilang kitar semula plastik di kawasan sama selepas mendapati pemilik kilang gagal mengendali dan menyelenggara sistem kawalan pencemaran udara (spray booth).

“Kilang yang menjalankan operasi pengacuan plastik itu didapati menjadi punca pencemaran habuk hitam di persekitaran berhampiran.

“Kegagalan mengendali dan menyelenggara sistem kawalan pencemaran udara dengan baik adalah suatu kesalahan di bawah Peraturan 7(3), Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!