X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

12 ditahan terlibat Macau Scam

Ayob Khan menunjukkan gambar suspek yang terlibat dengan sindiket penipuan dalam talian pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, Khamis.
A
A

JOHOR BAHRU - Kegiatan 12 individu termasuk seorang wanita yang menjalankan aktiviti penipuan dalam talian atau Macau Scam sejak setahun lalu berakhir apabila mereka diberkas pada Ahad.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mereka ditangkap di Cheras, Kuala Lumpur dengan bantuan polis di sana susulan satu serbuan di sebuah premis di Kota Tinggi pada Selasa.

"Ini adalah hasil siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor. Mereka yang ditangkap berusia 22 hingga 33 tahun itu semuanya warga tempatan.

"Hasil siasatan, ada di antara mereka bertindak menyamar sebagai pegawai Pos Laju yang memperdayakan mangsa dengan mengatakan ada bungkusan untuk mereka dan perlu membuat bayaran sebelum bungkusan diserahkan.

"Mereka yang ditahan ini merupakan pekerja untuk satu sindiket Macau Scam yang mendapat gaji antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan selain turut mendapat komisen untuk setiap pelanggan yang berjaya diperoleh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Kaw Kok Chin.

Ayob berkata, menerusi serbuan di premis tersebut membawa kepada rampasan 57 telefon bimbit, satu set komputer dan dua buah modem.

Katanya, semua urusan transaksi dalam memperdayakan mangsa menggunakan satu akaun sahaja dan pihak bank terbabit tidak menyedarinya kerana dilakukan dalam jumlah yang tidak besar.

Beliau berkata, semua suspek kini direman 21 hari sehingga 21 Mac ini mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan atas talian.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan pengawasan selama dua tahun atau tahanan penjara selama dua tahun," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!